PRN: PN Selangor tak serang peribadi, fokus selesai masalah rakyat

0
154

PERIKATAN Nasional (PN) Selangor tidak akan menyerang peribadi mana-mana pihak atau individu termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kempen mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi PN negeri itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebaliknya berkata, PN Selangor akan memberi fokus kepada tiga perkara antaranya menyelesaikan permasalahan rakyat di negeri berkenaan.

Katanya, Amirudin merupakan sahabat lama beliau dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) malah mengakui beliau membawa nama ‘anak didiknya’ itu untuk diangkat sebagai Menteri Besar.

“Ya beliau merupakan seorang sahabat lama saya dalam Keadilan (PKR), beberapa tahun (lalu) dan saya memang membawa nama beliau untuk diangkat menjadi Menteri Besar Selangor.

“Ini kerana ketika itu kita memerlukan seorang tokoh muda yang dapat membawa perubahan drastik kepada negeri Selangor namun pada hari ini kita tidak mahu meremehkan atau melontarkan (serangan peribadi) kepada mana mana individu atau mana mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Konvensyen Pilihanraya Perikatan Nasional Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini, lapor Sinar Harian.

Mohamed Azmin menambah, fokus pertama PN Selangor pada PRN pada kali ini adalah mengukuhkan iltizam, kepimpinan dan anggota PN negeri berkenaan.

“Kedua, PN Selangor akan meneruskan kerja kuat kami untuk mengangkat umat dan memakmurkan negeri Selangor dan ketiga untuk memberikan penyelesaian kepada pemasalahan rakyat pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini rakyat sedang marah kerana tidak ada penyelesaian daripada kerajaan Persekutuan dalam isu ekonomi, pekerjaan, kos sara hidup, inflasi, ringgit yang semakin lemah dan tiada penyelesaian sehingga kini.

“Oleh kerana kerajaan negeri pada hari ini bersekongkol dengan kerajaan Persekutuan sudah tentulah rakyat Selangor juga terkesan kerana rakyat Selangor mahukan penyelesaian yang tidak dapat diberikan.

“Maka kemarahan hari ini sudah menjadi satu gelombang maka mereka meletakkan satu harapan yang begitu menggunung kepada PN kerana telah melihat keupayaan dan prestasi kerajaan PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun ketika itu negara menghadapi krisis tetapi kita mampu memberikan penyelesaian dalam keadaan gawat begitu.

“Apabila negara menghadapi krisis kita memerlukan kepimpinan bersih, bertanggungjawab dan itu ada dalam PN sebab itu gelombang kebangkitan rakyat pada hari ini tidak boleh ditahan lagi dan kami ini hanya memudah cara supaya peralihan kerajaan negeri kali ini berjalan dengan lancar demi rakyat di negeri Selangor,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here