31,600 jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah esok

0
152

SERAMAI 31,600 jemaah haji mula bergerak ke Arafah esok bagi menyempurnakan ibadah yang paling penting dalam Rukun Islam kelima itu.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jemaah haji akan bergerak dari Mekah ke Arafah bermula jam 7 pagi hingga selepas Zohor melibatkan laluan sejauh 21.9 kilometer.

Katanya, sebanyak 21 bas disediakan untuk membawa 3,000 jemaah dengan keseluruhannya 63 trip perjalanan untuk satu maktab.

“Petugas akan buat pemeriksaan di 12 penginapan jemaah, di setiap tingkat dan juga di Masjidilharam supaya tiada jemaah yang tertinggal,”katanya pada taklimat operasi Masyair di Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraj Al Janadriyah.

Wartawan SINAR HARIAN melaporkan dari Mekah, pada tahun ini kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina bagi menyempurnakan ibadah haji masing-masing.

Syed Saleh berkata, pada hari wukuf iaitu Selasa 9 Zulhijjah, jemaah haji akan mengikuti khutbah Arafah dan memanfaatkan waktu wukuf dengan ibadah masing-masing seperti doa,berzikir dan membaca al-Quran.

Kata beliau, sebelum Maghrib kira-kira jam 6.30 petang semua jemaah haji perlu berada di dalam bas yang ditetapkan untuk bergerak ke Mudzalifah melibatkan jarak lapan kilometer.

“Apabila masuk Maghrib, jemaah akan dibawa dengan tujuh bas secara ulang-alik dari Arafah ke Mudzalifah dan perlu menunggu separuh malam pada 11.45 malam.

“Duduk seketika di Mudzalifah pada separuh malam dikira memenuhi syarat bermabit seperti yang ditetapkan pakar rujuk,” katanya.

Tambah Syed Saleh, dari Mudzalifah jemaah akan bergerak ke Mina dengan jarak perjalanan tujuh kilometer menggunakan sembilan bas selepas jam 11.45 malam.

“Jemaah haji akan berada di Mina pada 10 Zulhijjah hingga 12 Zulhijjah atau sehingga 13 Zulhijjah, berpandukan kepada Nafar Awal (melontar jamrah pada dua dari tiga hari tasyrik) dan Nafar Thani (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik).

Kerajaan Arab Saudi menetapkan hari Wukuf yang menjadi kemuncak haji, adalah pada Selasa, ini, sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here