PN yakin dapat bentuk kerajaan di Negeri Sembilan

0
195

PERIKATAN  Nasional (PN) yakin akan membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, tidak lama lagi.

Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata PRN di negeri itu dijangka sengit, namun berdasarkan kajian, gabungan itu berkeyakinan tinggi berlaku perubahan dalam kalangan pengundi Melayu di Negeri Sembilan yang akan menyokong PN dan membawa kemenangan kepada gabungan berkenaan.

“Kami yakin pengundi Melayu di negeri ini yang sebelum ini menyokong Barisan Nasional (BN) akan beralih menyokong PN. Kami yakin PN berpotensi untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jentera PRN peringkat PN Negeri Sembilan di Bilik Gerakan Utama PN negeri di Paroi, hari ini, lapor Berita Harian.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PN negeri, merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha; Ketua Bersatu Bahagian Rembau, Nazree Yunus dan Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan, Gary Lee.

Dalam pada itu beliau berkata, pembahagian 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan parti gabungan PN bagi menghadapi PRN di Negeri Sembilan mencapai kata sepakat tanpa sebarang masalah.

Beliau berkata, pimpinan Bersatu, Pas dan Gerakan negeri berpuas hati dengan agihan kerusi yang diperuntukkan bagi parti masing-masing.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci jumlah kerusi yang akan ditandingi setiap parti berkenaan.

“Kami (PN) bertanding semua 36 kerusi di Negeri Sembilan, tapi pecahannya tidak perlu dijelaskan di sini kerana kami bergerak sebagai satu pasukan iaitu Perikatan Nasional. Maka, calon jika datang dari Pas, sokongan akan diberikan sepenuhnya dan begitu juga jika dari Gerakan dan Bersatu, akan disokong penuh oleh rakan pendukung parti dalam gabungan PN.

“Semua kepemimpinan parti peringkat negeri bersetuju dan sepakat dengan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan tertinggi dari segi pembahagian kerusi,” katanya.

Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, mengesahkan gabungan itu akan bertanding di semua 245 kerusi DUN pada PRN di enam negeri.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, dilaporkan berkata, Bersatu akan bertanding di 83 kerusi DUN, sementara Pas di 126 kerusi dan Gerakan di 36 kerusi.

Ahmad Faizal, yang juga Timbalan Presiden Bersatu dan Pengerusi PN Perak, berkata senarai calon bagi gabungan itu sudah dimajukan ke peringkat pucuk pimpinan tertinggi untuk disaring dan dimuktamadkan.

“Peringkat akar umbi setiap parti sudah mencadangkan beberapa nama kepada pucuk pimpinan dan daripada itu, kita akan saring sebelum membuat keputusan (dipilih sebagai calon),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here