PRN: PH-BN Terengganu’berperang’ rebut kerusi DUN?

0
186

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

BENARKAH gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Terengganu kini dikatakan semakin tidak sehaluan dan tiada persefahaman mengenai isu membabitkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal dipertandingkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi?

Dakwaan tersebut hangat diperkatakan susulan wujudnya ‘perang kenyataan’ berhubung isu pengagihan kerusi melibatkan gabungan berkenaan terutamanya daripada UMNO, Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, ‘perang kenyataan’ diluahkan antara Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan Pengerusi PH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad serta Pengarah Pilihan Raya PKR negeri, Ahmad Sabri Ali membabitkan isu berkenaan dilihat boleh merencatkan permuafakatan dalam gabungan tersebut.

Justeru, para penganalisis serta pemerhati politik Terengganu menyifatkan pertelingkahan dan perbalahan tersebut bakal menggugat impian PH-BN untuk menang dalam PRN nanti.

Ahmad Said

Dan ia sekali lagi memberi bonus atau kelebihan paling bermakna kepada Perikatan Nasional (PN) untuk memerintah Terengganu.

Ini kerana perbalahan itu bukan sahaja menyebabkan rakyat semakin muak, sebaliknya ia bakal mengundang kemarahan dalam kalangan para penyokong parti berkenaan.

Sepanjang minggu ini, Ahmad dan Raja Bahrin saling berbalas kenyataan berhubung isu pengagihan kerusi DUN dengan pertelingkahan tertumpu kepada isu parti manakah paling dominan dan berpeluang menang dalam PRN nanti.

Pertelingkahan dan perbalahan ini seakan mengesahkan kebenaran dakwaan banyak pihak sebelum ini bahawa PH dan BN bakal berhadapan masalah besar apabila berada dalam satu gabungan sama.

Raja Bahrin

Pada bulan lalu PH dan BN sudah terpalit dengan isu yang mengatakan para penyokong peringkat akar umbi dan jentera UMNO akan bertindak ‘memulau’ dan tidak akan keluar membantu calon PH yang bertanding di mana-mana kerusi DUN di negeri ini.

Bagaimanapun ketika itu ia dinafikan oleh Ahmad yang turut mengatakan kepimpinan peringkat Pusat belum membuat sebarang keputusan mengenai pengagihan kerusi.

Dalam isu terbaharu ini, ia dikaitkan dengan kenyataan Ahmad yang meminta parti-parti komponen menerima hakikat bahawa pertarungan sebenar dalam PRN di Terengganu hanya melibatkan dua parti dominan iaitu Pas dan UMNO.

Sehubungan itu beliau meminta parti komponen termasuk PKR perlu berlapang dada mengenai isu agihan kerusi yang dikemukakan UMNO Terengganu kepada pimpinan tertinggi di peringkat Pusat.

Difahamkan UMNO Terengganu hanya menawarkan antara tiga atau empat kerusi untuk ditandingi PH melibatkan PKR dan Amanah.

Selain itu, Ahmad juga mengatakan bahawa isu tersebut sebenarnya telah selesai dan biarlah pucuk pimpinan memutuskannya.

Sambil meminta PKR perlu ukur baju di badan sendiri, Ahmad seterusnya bertanya berapa kekuatan yang PKR miliki, berapa banyak cawangan dan jumlah keahlian parti itu ada di Terengganu?

Berbanding UMNO, Ahmad menjelaskan di Kuala Terengganu sahaja sudah mempunyai lebih 20 cawangan.

Susulan kenyataan Ahmad, pada Selasa lalu, Raja Bahrin yang segera membidas Ahmad meminta agar sikap saling menghormati sesama pihak yang berunding adalah diperlukan terutama membabitkan parti gabungan.

Menurut Raja Bahrin, pihaknya tidak mengharapkan jawatan lantikan seperti Senator dan Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sebaliknya mahu menyumbang dengan cara bermakna dalam PRN, iaitu meraih kemenangan sekurang-kurangnya di lapan kerusi yang sebelum ini menang dengan majoriti tipis.

Ini kerana beliau percaya bahawa gabungan parti baharu yang disertai PH ini boleh membantu menjadi ‘king maker’ atau penentu dalam PRN nanti.

Raja Bahrin mengulas kenyataan Ahmad Said yang meminta PKR Terengganu ‘ukur baju di badan sendiri’.

Isu pengagihan kerusi mula tercetus apabila Ahmad Sabri meminta BN mempertimbangkan tujuh kerusi DUN untuk ditandingi PKR dalam PRN kali ini.

Adakah peristiwa penyokong BN pekik ‘pakatan hancing’ manakala penyokong PH jerit ‘hancur BN’ semasa kedua-dua pihak itu bergaduh di pusat pengundian SJKC Chung Hua, Rantau, pada 2019 akan berulang lagi

Ahmad Sabri ketika bercakap kepada media baru-baru ini mengatakan pihaknya sudah mengenal pasti calon yang mampu menang dan diterima rakyat untuk diketengahkan bertanding di kerusi DUN pada PRN tidak lama lagi.

Bagaimanapun, katanya, PKR negeri akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan majlis Presiden Kerajaan Perpaduan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here