Badan Pengelola Haji Thailand pelajari cara TH urus jemaah

0
174

BADAN Pengelola Haji Thailand berminat dengan strategi dan pengalaman Tabung Haji (TH) dalam pengurusan jemaah memandangkan negara berkenaan masih ketinggalan dari aspek itu.

Ketua Rombongan Haji Thailand, Dr Zakee Abdulaziz Pitakkumpun berkata, seperti semua sedia maklum, umat Islam di Thailand adalah minoriti dan badan yang menguruskan jemaah haji di negara berkenaan perlu bergerak atas kaki sendiri.

Atas dasar itu kata Dr Zakee, pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dan pertemuan dengan TH bagi mendapatkan input berkenaan pengurusan haji.

“Kami dapat mempelajari sistem TH yang kukuh seterusnya dapat meningkatkan keupayaan kami dalam memberi perkhidmatan yang terbaik untuk jemaah haji Thailand,” katanya pada sidang media selepas kunjungan ke Ibu Pejabat TH di Abraj Janadriyah pada Ahad.

Dr Zakee berkata, pada tahun ini sebanyak 11,300 jemaah haji dari Thailand hadir ke Tanah Suci berbanding kuota penuh sebanyak 13,000 orang yang diperuntukkan kerajaan Arab Saudi.

Katanya, semua jemaah dari negara berkenaan perlu membayar antara 220,000 sehingga 280,000 Thai Baht seorang (RM29,000 hingga RM37,000) untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Kata beliau, jumlah bayaran berkenaan meningkat berbanding tahun sebelumnya dan mereka menerima rungutan daripada jemaah haji Thailand.

“Haji itu wajib bagi mereka yang mampu (istito’ah). Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam memahamkan jemaah mengenai istito’ah jadi kita harap dapat mempelajarinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, hubungan baik di antara kedua-dua negara telah lama terjalin dan setiap tahun diadakan perjumpaan di Makkah, Malaysia dan Thailand bagi bertukar pandangan, pengalaman dalam urusan haji kedua-dua negara.

Rombongan Haji Thailand dibawa bertemu dengan jemaah haji Malaysia di Ibu Pejabat TH di Abraj Janadriyah di Makkah.

Rombongan Haji Thailand dibawa bertemu dengan jemaah haji Malaysia di Ibu Pejabat TH di Abraj Janadriyah di Makkah.

“Kita adakan perbincangan secara mendalam atas hal ehwal yang mempunyai kepentingan bersama kerana negara-negara Asia Tenggara berada di bawah satu muassasah yang sama.

“Turut dibincangkan dari segi hukum-hakam kerana setiap tahun diadakan muzakarah untuk bincang pendirian memperhalusi berkenaan hukum dalam melaksanakan ibadah haji.

“Kita juga bincang soal pengendalian penerbangan, operasi Masyair, pengendalian jemaah yang lanjut usia yang memerlukan rawatan perubatan,” katanya.

Syed Saleh berkata, TH turut berkongsi model diaplikasikan institusi tabungan itu dalam mendepani kenaikan kos yang dihadapi saban tahun.

“Kita ada terangkan model TH iaitu kekuatan dana yang ada untuk buat pelaburan seterusnya beri balik pulangan kepada pendeposit supaya mereka dapat tingkatkan simpanan hingga satu tahap dapat tunai haji.

“Dengan dana yang kukuh boleh uruskan tempahan hotel, penerbangan dari awal tanpa perlu tunggu wang simpanan jemaah haji. Kita juga boleh uruskan perjanjian jangka panjang seperti dilakukan dengan Masyariq untuk mengelakkan peningkatan kos,” katanya lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here