Warga asing tidak mengaku bersalah beri rasuah RM1,000

0
152

SEORANG buruh binaan warga Bangladesh, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Isnin, atas pertuduhan memberi rasuah bernilai RM1,000 kepada seorang pembantu penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), empat bulan lalu.

Tertuduh, Shahin Alam, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 30 tahun itu didakwa memberi suapan jumlah RM1,000 kepada seorang Pembantu Penguatkuasa Gred KP19 Unit Elite MBIP, pada 15 Februari lepas.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas syarikat tempatnya bekerja, kerana melanggar syarat lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh MBIP iaitu menjual barang basah

Perbuatan itu didakwa dilakukan disebuah premis perniagaan di Kawasan Perindustrian SILC, Nusa Jaya Square, Iskandar Puteri.

Kes didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, R. Jegathisvaran.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 ringgit, berserta seorang penjamin warga tempatan, selain syarat tambahan perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM di sini, sebulan sekali.

Manakala 20 Julai depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen, lapor Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here