Sanusi menghadap Sultan 25 Jun, cadang DUN Kedah dibubar 28 Jun 

0
200

MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 25 Jun depan bagi menyembah maklum cadangan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini dibubarkan pada 28 Jun depan. 

Menurut Muhammad Sanusi, pemilihan tarikh itu dibuat bersempena hari Wukuf di Arafah yang membawa maksud ‘berhenti’, serta merupakan salah satu rukun haji terpenting buat umat Islam. 

Begitu pun katanya, pembubaran DUN negeri ini pada tarikh tersebut masih tertakluk kepada perkenan Sultan Kedah. 

“Saya kena dapat perkenan Tuanku dulu dan saya akan menghadap baginda pada 25 Jun nanti. Saya cadang persembahkan kepada Tuanku cadangan pembubaran pada 28 Jun sempena hari Wukuf yang bermaksud berhenti.

“Itu cadangan saja, kalau Tuanku perkenan baharu saya akan umum secara rasmi. Kalau Tuanku tak perkenan kita boleh lanjut tarikh itu sampai tarikh matang DUN Kedah pada 4 Julai dan segalanya terserah kepada Tuanku.

“Tindakan lanjut selepas pembubaran berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk hari penamaan calon dan hari pengundian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Khemah, Meja dan Kerusi Kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) Di Bawah Program Sejahtera Komuniti di Wisma Darul Aman, hari ini.

Ditanya dakwaan ditimbulkan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kononnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan kembali menjadi Menteri Besar selepas PRN berlangsung, Muhammad Sanusi berkata Mukhriz sendiri telah menafikan perkara itu di laman media sosialnya.

“Mukhriz sudah buat status tak akan kembali (jadi Menteri Besar). Nak jadi Menteri Besar kena menang pilihan raya dulu. Kalau jadi calon awal tetapi tak menang, bukan boleh dilantik jadi senator untuk jadi Menteri Besar,” katanya. 

Sementara itu katanya, dakwaan kononnya kerajaan negeri Kedah tidak berbuat apa-apa sepanjang tiga tahun di bawah Perikatan Nasional (PN) dibuat oleh orang politik ‘yang buta dan pekak’. 

Katanya, pelbagai perkara dilakukan kerajaan negeri selama ini termasuk kejayaan menarik pelaburan baharu. 

“Pandanglah dengan hati ikhlas an jangan jadi pekak atau buta. Berlapang dada untuk mengakui perkara yang baik. Banyak kita yang kita laksanakan antaranya Projek Kedah 2035 di mana pelbagai inisiatif kita rangka. Ketika Sidang DUN Kedah mereka kata saya tak terangkan, jadi saya jemput semua pembangkang ke taklimat khas Kedah 2035 tetapi yang datang seorang saja iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kundor, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi,” katanya, lapor Warta Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here