Sanusi faktor Gelombang PN sukar digugat

0
168

BERBAKI kira-kira dua minggu sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14 dibubar, aura ‘gelombang hijau’ memihak kepada Perikatan Nasional (PN) di negeri Jelapang Padi ini tidak pernah malap.

Malahan, peningkatan sokongan terhadap PN semakin dirasai dari hari ke hari tanpa mengira peringkat umur pengundi yang tidak sabar-sabar untuk mengulangi kejayaan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Keputusan 14-1 yang terhasil dalam pilihan raya itu menandakan rakyat Kedah tidak mahu lagi Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) apatah lagi DAP kembali memerintah negeri tersebut.

Kebanyakan pengundi mengakui mereka mahu memilih PN kerana menyenangi cara pentadbiran dan karakter yang dibawa pimpinan gabungan itu terutama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dianggap ‘Panglima Perang’.

Nama Muhammad Sanusi sudah diakui PN Kedah akan terus dipersembah kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebagai Menteri Besar seandainya mereka melepasi angka yang mampu membentuk kerajaan negeri pada malam pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Pada masa sama, nama Muhammad Sanusi juga terus menjadi mimpi ngeri kepada PH-BN-DAP apabila kelantangan dan kenyataan berlandaskan fakta yang dikemukakannya setiap kali membalas tuduhan lawan mudah mematahkan hujah mereka dalam sekelip mata.

Faktor Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri yang mungkin akan mempertahankan kerusi DUN itu juga menjadikan aura gelombang PN di Kedah sentiasa bercahaya, bahkan sinarannya boleh dilihat sehingga ke Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ekoran itu, PH-BN-DAP di Kedah seakan-akan ‘mati kutu’ untuk menyaingi kehebatan Muhammad Sanusi yang amat popular di setiap pelosok negeri Kedah bermula dari Langkawi hingga ke Kulim-Bandar Baharu.

Sehingga ke hari ini, tiada seorang pun lagi pemimpin gabungan itu mampu berdiri sama tinggi atau duduk sama rendah dengan Muhammad Sanusi walaupun dalam kalangan mereka terdapat bekas Menteri Besar Kedah.

Disebabkan itu juga, PH-BN-DAP sampai sekarang tidak mengumumkan poster boy atau lebih tepat calon Menteri Besar daripada gabungan mereka kerana tahu tidak ada siapa boleh menandingi populariti Muhammad Sanusi atau seperti kata orang Kedah ‘depa tau tak leh menang tu tak boh calon MB’.

Tidak ada modal untuk membunuh karakter Muhammad Sanusi seperti yang dilakukan terhadap pemimpin lain kerana Menteri Besar Kedah itu tidak terpalit dengan apa-apa kontroversi yang boleh menggugat kedudukannya.

Hanya apabila beliau mengeluarkan kenyataan yang menjadi perhatian ramai dan dianggap ‘menghasut’ barulah timbul jurucakap-jurucakap PH-BN-DAP Kedah untuk ‘tumpang semangkuk’ mengecam walhal isu tersebut tidak ke mana.

Muhammad Sanusi memang lebih banyak meneruskan agenda atau perancangan pembangunan kerajaan negeri terdahulu tetapi sebagai seorang yang berfikiran waras, tindakan itu lebih logik kerana jika mengubah dasar atau projek tertentu sampai bila pun tak akan bawa manfaat kepada rakyat Kedah.

Ambil sahaja contoh projek naik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) utama di Kedah, memang itu projek yang sudah lama. Tetapi berapa lama pula tertangguh sehinggalah Muhammad Sanusi orangnya yang bertanggungjawab merealisasikan kerja itu.

Projek Kedah Aerotropolis pun memang bukan ‘buah fikiran’ Muhammad Sanusi tetapi kegigihan dan konsistennya beliau memperjuangkan pembangunan itu bukti apa yang dicakapnya benar iaitu beliau memakai dua topi dan dua kasut pada satu masa.

Kasut pertama sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN yang sudah tentu akan membawa manfaat kepada partinya tetapi apabila memakai kasut dan topi Menteri Besar beliau ketepikan agenda politik semata-mata mahu memastikan negeri Kedah lebih maju ke hadapan seiring negeri lain.

Boleh sahaja Muhammad Sanusi pejam mata terhadap projek-projek tersebut termasuk Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap, tetapi sebagai seorang rakyat biasa pun kita tahu lebih baik selesaikan apa yang dijanjikan walaupun janji itu dibuat oleh orang lain berbanding membuat tawaran baharu.

Maka disebabkan faktor-faktor tersebutlah menjadikan negeri Kedah memang akan sukar digugat oleh PH-BN-DAP pada PRN tidak lama lagi melainkan mereka mengharapkan keajaiban berlaku.

Tulisan ini pertama disiarkan portal Warta Rakyat adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here