Video tular: Polis Johor terima dua laporan terhadap Jocelyn Chia

0
176

POLIS Johor menerima dua laporan berhubung tindakan pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia, yang menghina dan memperlekehkan Malaysia pada rancangan komedinya yang videonya tular sejak minggu lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, yang turut memaklumkan pihaknya komited dalam siasatan kes ini.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai tidak memainkan isu yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Sehingga kini kita terima dua laporan polis berhubung isu pelawak itu yang menghina dan memperlekeh negara.

“Permohonan INTERPOL telah dibuat pada semalam untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 504/505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor BH Online.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan PDRM akan membuat permohonan kepada INTERPOL bagi mendapatkan identiti dan lokasi terkini Jocelyn untuk membantu siasatan berhubung klip videonya yang tular di media sosial.

Sebelum ini, tindakan Jocelyn yang memperlekehkan Malaysia dalam satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini, mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Singapura.

Menerusi klip video yang dimuat naik pada akaun TikTok, Jocelyn turut secara sengaja menghina seorang penonton persembahannya yang mengaku sebagai rakyat Malaysia dengan perkataan kesat.

Susulan itu, TikTok mengeluarkan video tular berkenaan yang turut mengandungi kenyataan menghina Malaysia dan tragedi MH370, kerana mengandungi ucapan berunsur kebencian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here