Warga emas putih mata, wang KWSP RM100,000 lesap ditipu ‘pegawai polis’

0
134

SEORANG warga emas berputih mata apabila wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya sebanyak RM100,000 lesap selepas terpedaya dengan ‘phone scam’.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 5 Jun lalu selepas mangsa yang berumur 67 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Dalam perbualan, suspek menyatakan mangsa membuat penghantaran bungkusan melalui pos laju yang mengandungi kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan kad pengenalan serta hasil semakan mendapati mangsa mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan penggubahan wang haram.

“Mangsa berasa takut dan telah mengikut arahan suspek dengan memindahkan wang berjumlah RM100,000 ke dua akaun bank suspek yang diberikan,” katanya di Kuantan hari ini.

Menurut Yahaya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan.

Katanya berdadasarkan siasatan awal mendapati mangsa telah memindahkan wang simpanan KWSP miliknya kepada suspek selepas terpedaya dengan helah suspek.

Sementara itu dalam kes berasingan di Temerloh, seorang lelaki berusia 32 tahun mengalami kerugian sebanyak RM95,200 selepas terpedaya dengan ‘phone scam’.

Katanya kejadian bermula pada 1 Januari lalu selepas mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai sebuah syarikat kurier yang menyatakan nama mangsa digunakan dalam penghantaran bahan terlarang ke Perlis.

“Kemudian panggilan tersebut telah disambung kononnya kepada pihak polis dan mahkamah dan mangsa diminta membuat pinjaman peribadi dan wang tersebut dipindahkan ke satu akaun juruaudit Bank Negara Malaysia untuk siasatan.

“Dalam tempoh seminggu mulai 14 April 2023 mangsa telah membuat empat kali transaksi berjumlah RM 95,200.00 ke empat akaun yang berbeza,”ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here