‘Kantoi’ kahwin lain, warga emas didakwa pukul isteri pertama

0
185

SEORANG akauntan warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan memukul isteri selepas rahsia berpoligami diketahui mangsa.

Norazlan Md. Ali, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap isterinya, Zaharah Mustapa, 58, dalam sebuah kenderaan jenis BMW XI di kawasan lampu isyarat Bukit Katil di Melaka kira-kira pukul 5.30 petang pada 25 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa mendapat tahu dirinya telah dimadukan dan berlaku ‘perang mulut’ antara mangsa dan tertuduh sebelum tertuduh didakwa memukul mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan dia yang tidak lagi tinggal bersama mangsa dan perlu menanggung keluarganya termasuk enam anak.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan 20 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here