Kenyataan Kit Siang dangkal, politik murahan – Mas Ermieyati

0
140

DATUK Mas Ermieyati Samsudin menyifatkan kenyataan bekas Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang bahawa beliau tidak layak menerajui Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) disebabkan memboikot perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN)  di Dewan Rakyat pada Selasa dan Rabu lalu, membuktikan ‘kedangkalan’ bekas Ahli Parlimen berkenaan memahami Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR).

Dalam kenyataan hari ini, Mas Ermieyati yang merupakan Pengerusi PAC berkata, sebagai orang lama dalam Parlimen, Kit Siang seharusnya mengetahui kuasa yang diberikan Dewan Rakyat terhadap PAC terutama sekali dalam Peraturan Mesyuarat 77(1)(c).

‘’Peraturan itu jelas menyebut bahawa PAC… memeriksa penyata-penyata Pemeriksa Kira-kira Negara yang dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat menurut Perkara 107 dalam Perlembagaan, ‘’katanya.

Sehubungan itu beliau turut menyifatkan, kenyataan Kit Siang adalah politik murahan yang jelas tidak mengendahkan peruntukan kuasa yang diberikan kepada PAC.

‘’Ia membuktikan bahawa Tan Sri Lim terus mahu menggunakan Parlimen sebagai alat politik,’’ tegasnya.

Selain itu, kata Ahli Parlimen Masjid Tanah itu, sebagai individu yang mempunyai latar belakang undang-undang, kenyataan Kit Siang menunjukkan betapa sikap pilih bulu dan bermuka-muka dengan tidak mengambil kira fakta dan peruntukan undang-undang sama ada yang terdapat dalam Peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan.

‘’Seperti yang saya tegaskan dalam sidang media PAC semalam bahawa Jawatankuasa ini bersetuju sebulat suara untuk menyiasat isu-isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Rakyat dalam perbahasan LKAN terutamanya mengenai Pengurusan Wabak Covid-19,.

‘’Persoalan saya kepada Tan Sri Lim apa hasil yang diperoleh Kerajaan dalam perbahasan berkenaan? Semuanya retorik politik dan segala isu yang dibangkitkan dalam LKAN kini dalam tindakan pihak berkuasa,’’ katanya.

Beliau berkata,  di PAC, semua isu dalam LKAN disiasat dengan teliti dan terperinci sebelum satu laporan PAC yang mengandungi rumusan dan syor dibentangkan kepada rakyat di Parlimen.

‘’Daripada Tan Sri Lim mempersoalkan kredibiliti saya sebagai Pengerusi PAC, adalah lebih baik Tan Sri Lim bertanya kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai perbahasan Laporan PAC kerana inilah yang diperjuangkan selama ini oleh Ahli-ahli Parlimen daripada parti Tan Sri Lim,’’ katanya.

Mas Ermieyati menegaskan, seharusnya keutamaan Ahli-ahli Dewan Rakyat adalah terhadap perbahasan Laporan PAC kerana ia adalah sebuah laporan yang dihasilkan sebuah Jawatankuasa Dewan Rakyat.

‘’Malah laporan ini telus serta lengkap dengan kenyataan daripada saksi-saksi terdiri daripada Pegawai Pengawal Kementerian iaitu Ketua Setiausaha yang mempunyai kuasa eksekutif dan bertanggungjawab penuh dalam urusan perolehan dan kewangan Kementerian,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here