Dua penyamun berparang mati ditembak polis

0
124

DUA penyamun bersenjatakan parang maut ditembak polis sebelum sempat memecah masuk sebuah rumah di sekitar Lorong Jintan, Taman Supreme, Cheras di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian 3.30 pagi itu polis menerima maklumat awam berkaitan pergerakan mencurigakan empat lelaki disyaki warga asing di kawasan berkenaan.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang sedang membuat rondaan diarahkan membuat pemeriksaan di lokasi terbabit.

Tiba di lokasi, empat penyamun dianggarkan berusia antara 30-an ke 40-an itu cuba menyerang anggota polis menggunakan parang.

Anggota polis yang cuba mempertahankan diri terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek dan membunuh dua daripada mereka, manakala dua lagi suspek melarikan diri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya menemui beberapa peralatan dipercayai untuk kegiatan pecah rumah termasuk pemotong besi dan parang.

“Buat masa ini kita sedang siasat pembabitan mereka. Selepas kita buat siasatan lanjut dan kenal pasti identiti mereka baru kita boleh tahu siapa dia (suspek) dan kaitkan dengan kes-kes lain.

“Kita dapat maklumat kemungkinan besar mereka ini empat orang… dua melarikan diri guna sebuah kereta dengan nombor plat palsu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini lapor BH.

Katanya, siasatan awal tidak menjumpai sebarang senjata api pada kedua-dua suspek terbabit dan usaha mengesan saki-baki suspek yang dipercayai warga asing itu sedang giat dijalankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here