Mahkamah benarkan 1MDB mulakan tindakan saman sekutu Jho Low

0
187

MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini, membenarkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya, meneruskan tindakan saman bagi menuntut AS$2.795 (RM12.9 bilion) daripada sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Peguam, Siva Kumar Kanagasabai, yang mewakili 1MDB ketika dihubungi media, berkata Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Haneefa Arifin memberikan kebenaran itu pada prosiding kes itu hari ini.

Katanya, 1MDB perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu untuk meneruskan saman terhadap Eric Tan Kim Loong kerana beliau sudah diisytiharkan muflis pada 14 Jun 2022 oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas gagal melunaskan cukai pendapatan berjumlah RM68,334,219.01 kepada kerajaan.

“Permohonan pihak kami ialah supaya 1MDB dibenarkan untuk meneruskan dengan tindakan saman terhadap Kim Loong walaupun beliau sudah muflis.

“Apabila seseorang itu diisytiharkan muflis, tindakan mahkamah tidak dapat diteruskan kecuali dengan mendapat kebenaran mahkamah …kami berjaya memperoleh kebenaran itu hari ini,” katanya lapor BH.

Kim Loong diisytiharkan muflis pada 14 Jun 2022, oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas gagal melunaskan cukai pendapatan RM68,334,219.01 kepada kerajaan.

Mengikut petisyen pemiutang, kerajaan memohon satu perintah kebankrapan dibuat terhadapnya kerana berhutang dengan kerajaan sebanyak RM68,334,219.01 termasuk faedah dan kos melalui tuntutan cukai pendapatan yang belum dibayar.

Pada 2 Mei lalu, 1MDB dan anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited menamakan Kim Loong sebagai penghutang penghakiman dan Kerajaan Malaysia sebagai pemiutang penghakiman

Menerusi saman itu, 1MDB mendakwa antara 1 Oktober 2009 dan 7 November 2014, Kim Loong menerima secara tidak jujur dana berjumlah AS$2.795 bilion tanpa sebarang tujuan komersial yang sah, tanpa sebarang hak undang-undang mahupun kepentingan tanpa memberikan sebarang balasan bagi penerimaan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here