Wakil DAP gesa tarik balik pingat Tun daripada Dr Mahathir

0
87

SEORANG Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, hari ini menggesa Kerajaan Perpaduan menarik balik darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang dikurniakan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Darjah Kebesaran SMN terhad kepada 25 penerima pada satu-satu masa, tidak termasuk warga asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat dengan penyandang akan membawa gelaran Tun, manakala isterinya bergelar Toh Puan.

Gesaan supaya kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menarik balik pingat terbabit dibuat RSN Rayer (PH-Jelutong) atas dakwaan tindakan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berterusan menyerang dan menghina institusi diraja.

“Kita lihat beliau (Dr Mahathir) melakukan Proklamasi Melayu dan mungkin akan bekerjasama dengan Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang telah mengkhianati beliau, sebelum ini.

“Kedua-dua mereka ingin menghancurkan negara dan tidak mahu membenarkan Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) melaksanakan tugas menjaga kebajikan rakyat,” katanya lapor BH Online.

Rayer berkata demikian ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 buat pertama kali di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir pada Oktober 2003, dianugerahkan darjah kebesaran SMN Pangkat Pertama selepas melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, menggantikan Tun Hussein Onn.

Sebelum ini, bekas Pengerusi PEJUANG itu dan isterinya dilapor memulangkan Darjah dan Bintang Kebesaran Sultan Selangor, pada 7 Disember 2017.

Difahamkan Dr Mahathir memulangkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkamah Selangor (SPMS) dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) manakala Dr Siti Hasmah memulangkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan SPMS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here