Pemimpin Bersatu dakwa kerajaan sengaja lewat bentang Akta Pendanaan Politik

0
150

AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa kerajaan sengaja melewatkan untuk membentangkan Akta Pendanaan Politik dengan alasan memerlukan masa untuk libat urus dengan semua parti dalam kerajaan perpaduan.

Bekas bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, alasan kerajaan yang perlu lebih masa untuk libat urus dengan semua parti politik dalam kerajaan perpaduan kerana ianya adalah gabungan baru adalah tidak boleh diterima.

Katanya, parti-parti politik yang membentuk gabungan baru itu adalah parti lama dan libat urus telah pun dijalankan dengan semua parti.

“Sebenarnya Akta ini adalah akta yang paling mudah untuk dibawa ke Dewan Rakyat kerana drafnya sudah ada, dan kajian telah dijalankan dan telah selesai bertahun-tahun.

“Kerajaan hanya perlu tambah satu klausa mengenai peruntukan tetap ahli parlimen sahaja,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook miliknya hari ini.

Wan Saiful mengulas jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 25 Mei oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung pertanyaan beliau mengenai menambah peruntukan tetap untuk ahli parlimen dalam Akta Pendanaan Politik.

Azalina berkata, sebarang dasar baharu termasuk rang undang-undang itu perlu dibawa dan mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Beliau juga berkata, susulan perkembangan politik selepas PRU15, termasuk pembentukan gabungan parti politik baharu, sesi libat urus perlu diteruskan dengan parti politik dan pihak berkepentingan.

Wan Saiful juga menyeru semua pihak, terutama NGO yang sekian lama memperjuangkan akta ini, agar memberi tekanan lebih kuat kepada kerajaan agar matlamat itu tercapai.

“Tanpa tekanan berterusan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan terus terlupa janji-janjinya,” katanya lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here