Pegawai bank rugi RM53,700 ditipu sindiket kerja sambilan

0
95

SEORANG pegawai bank mengalami kerugian sebanyak RM53,700 akibat diperdaya sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan secara dalam talian pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 41 tahun pada hari yang sama.

Beliau berkata, pengadu menyertai tawaran kerja sambilan dalam Facebook pada pukul 11 pagi.

Menurutnya, mangsa telah dijanjikan komisen sebanyak 30 peratus daripada jumlah pembayaran.

“Bagi tugasan pertama pengadu mendapat pulangan sebanyak RM130, selepas itu, dia telah membuat enam kali transaksi ke dalam dua akaun berbeza.

“Pengadu gagal mendapat pulangan dan bayaran balik serta mensyaki dirinya telah ditipu kerana jumlah bayaran yang diminta semakin besar.

“Pengadu juga dimaklumkan sekiranya dia berhenti membuat kerja tersebut wangnya akan hangus,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

A. Asmadi berkata, laporan polis dibuat mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here