‘P Pinang milik Kedah’, terserah pada AG ambil tindakan pada Sanusi, kata Anwar

0
216

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sebarang tindakan lanjut berhubung dakwaan DatuK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah, kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Anwar menyifatkan dakwaan menteri besar Kedah itu sebagai ‘tidak bertanggungjawab’ dan mengesahkan beberapa laporan polis telah dibuat, termasuk di bawah Akta Hasutan.

“Saya serah sepenuhnya pada AGC untuk ambil tindakan sesuai,” katanya ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) berhubung dakwaan itu di Parlimen hari ini, lapor Malaysiakini.

Pada mulanya beberapa ahli parlimen pembangkang cuba membangkitkan peraturan mesyuarat bagi menghalang Lim daripada bertanyakan soalan itu, yang didakwa mereka mengandungi tanggapan negatif.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul bagaimanapun membenarkan Lim meneruskan pertanyaannya, dengan berkata dia tidak mendapati ada unsur tersebut.

Hari ini, Warta Rakyat melaporkan, Pas berpendirian tiada sebab untuk Muhammad Sanusi dikenakan tindakan berhubung kenyataan kontroversinya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan tersebut tidak menjadi kesalahan.

Sebaliknya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memutar belit kenyataan itu merupakan sesuatu yang tidak wajar.

“Ini bukan perkara baharu. Jika tengok rekod, pada 2017 seorang Exco kerajaan negeri Kedah (bawah BN) mengeluarkan kenyataan sama. Perkara ini sudah jadi perbahasan akademik di pelbagai peringkat.

“Bagi Pas, kita sokong apa yang MB Kedah sebut untuk dibuat kajian dan penyelesaian agar menokhtahkan perkara ini,” katanya, malam tadi.

Takiyuddin berkata, Pas akan mempertahankan isu tersebut pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here