MH17: Rusia, Ukraine bertemu di Mahkamah Dunia

0
140

UKRAINE dan Rusia bersemuka di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini berhubung dakwaan Moscow menyokong pemisah pro-Russia yang dipersalahkan atas kejadian menembak jatuh pesawat penumpang MH17 pada 2014.

Hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mendengar dakwaan Ukraine bahawa Moscow melanggar perjanjian anti-keganasan PBB dengan melengkapkan dan membiayai pasukan pro-Russia yang disimpulkan oleh penyiasat antarabangsa menembak jatuh pesawat itu di timur Ukraine, membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

Penerbangan MH17 berlepas dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur ditembak jatuh peluru berpandu buatan Rusia pada 17 Julai 2014 ketika pertempuran berlaku antara pemisah pro-Rusia dan tentera kerajaan Ukraine.

Ia akan menjadi kali pertama peguam untuk Ukraine dan Rusia bersemuka di ICJ yang juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia, sejak Moscow melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada 24 Feb 2022.

Seorang pegawai Kedutaan Rusia di The Hague tidak dapat dihubungi untuk memberikan maklum balas.

Difahamkan, Ukraine akan terlebih dahulu membuat pembentangan kes dan diikuti Russia untuk memberikan tindak balas.

Moscow sebelum ini berusaha memastikan kes ICJ ditolak, dengan alasan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa.

November lalu, mahkamah Belanda mensabitkan kesalahan membunuh terhadap dua lelaki Rusia dan seorang warga Ukraine kerana peranan mereka dalam insiden MH17 dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Ia juga mendapati bahawa Russia mempunyai ‘kawalan keseluruhan’ ke atas pasukan di Republik Rakyat Donetsk yang memisahkan diri di timur Ukraine sejak pertengahan Mei 2014.

Penemuan oleh Mahkamah Dunia bahawa Russia melengkapkan dan membiayai pemberontak di timur Ukraine yang bertanggungjawab atas tragedi MH17 akan menjadi kekalahan bagi Moscow, yang berulang kali menafikan menghantar tentera atau peralatan ketenteraan ke timur Ukraine pada 2014.

Ia boleh meningkatkan tuntutan undang-undang untuk ganti rugi atau pampasan bukan sahaja dari Ukraine tetapi juga daripada individu mangsa konflik.

Rusia memboikot perbicaraan di mahkamah pada Mac 2022 yang menangani permintaan Ukraine untuk mengenakan langkah kecemasan dalam satu lagi kes ICJ yang mana Kyiv menentang dakwaan Moscow pihaknya menceroboh Ukraine untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai terhadap penutur Russia.

Keputusan ICJ, mahkamah tertinggi PBB untuk pertikaian antara negara, adalah mengikat tetapi tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan.

Presiden Rusia, Vladimir Putin juga menjadi subjek waran tangkap oleh ICJ juga di The Hague, atas tuduhan jenayah perang ke atas penculikan kanak-kanak Ukraine, bagaimanapun Kremlin menafikan tuduhan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here