Wanita terselamat kereta selepas ditenggelami banjir kilat

0
142

SEORANG wanita terselamat apabila kereta dipandunya yang ditenggelami banjir kilat sehingga mencecah bumbung disedari orang awam di Jalan Meru, Taman Perindustrian Meru, Klang pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.44 pagi.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan itu.

“Bomba menerima maklumat berlaku limpahan air di lokasi itu pada kedalaman anggaran 1.3 meter yang mana terdapat sebuah kenderaan terperangkap di kawasan banjir kilat berkenaan.

“Bomba mendapati, sebuah kereta jenis Perodua Aruz yang dipandu seorang wanita berumur 57 tahun tersekat di dalam limpahan air itu.

“Pemandu wanita berkenaan berjaya keluar dari kenderaan dengan bantuan orang awam, sebelum pihak bomba sampai di lokasi,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH Online.

Mohamadul Ehsan berkata, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Mangsa dipercayai terperangkap kira-kira lima minit sebelum kenderaannya ditenggelami banjir kilat itu.

“Bagaimanapun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan banjir kilat sudahpun surut,” katanya.

Terdahulu, kejadian banjir kilat di beberapa kawasan sekitar daerah Klang dan Shah Alam berlaku susulan hujan lebat sejak pagi tadi.

Orang awam turut berkongsi gambar dan maklumat di media sosial mengenai limpahan air dan banjir kilat di kawasan masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here