Empat sekawan mengaku tak bersalah rogol, amang seksual remaja

0
164

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja berusia 14 tahun dalam bulan ini.

Tiga lelaki, Muhammad Sobri Muhammad Anuar, 25; Muhammad Rasyid Musa, 29, Muhammad Fikeri Mohd Sohad, 28 didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada pukul 1 pagi pada 14 Mei lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Lot 2173, Kampung Oren Baru, Ulu Tiram, Johor Bahru.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa merogol seorang perempuan berusia 14 tahun tiga bulan ketika kejadian tanpa kerelaan mangsa.

Mereka didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan dikenakan sebatan.

Sementara seorang lagi tertuduh, Nazreen Ashraf Nordini, 30, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pukul 12 tengah malam pada 14 Mei lalu di Lot 2173, Kampung Oren Baru, Ulu Tiram.

Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Kesemua tertuduh yang didakwa secara berasingan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Siti Noraida Sulaiman, membenarkan tiga tertuduh diikat jamin dengan RM18,000 manakala Nazreen Ashraf pula diikat jamin RM14,000.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nor Fadilah Johanuddin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguambela.

Siti Noraida menetapkan 2 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 23 Mei lalu, media melaporkan sekumpulan lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang remaja.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa menyatakan dirogol oleh empat lelaki warga tempatan secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Ulu Tiram pada 14 Mei lalu.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Ulu Tiram, membuat tangkapan di kawasan Ulu Tiram. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here