Beri kemas kini kemajuan pelaburan susulan MoU China, kerajaan diberitahu

0
110

SEORANG ahli ekonomi menggesa agar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) menyediakan laporan berkala mengenai kemajuan pelaburan berikutan pemeteraian 19 memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat-syarikat korporat China baru-baru ini.

Bekas pengerusi eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Noor Azlan Ghazali berkata, laporan sedemikian akan membolehkan masyarakat umum memantau sama ada komitmen pelaburan telah direalisasikan.

Beliau menjawab komen Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa kerajaan telah menjalankan proses saringan menyeluruh sebelum meluluskan penglibatan syarikat tempatan dalam kerjasama itu.

Noor Azlan berkata, penting untuk masyarakat umum faham bahawa proses menarik pelaburan perlu melalui beberapa peringkat.

“Lebih elok jika setiap peringkat itu dijadikan lebih telus dalam erti kata ia memberi kita sedikit gambaran tentang kemajuan, dan apa yang akan datang.

“Pada masa sama, langkah ini akan menjadikan agensi terbabit lebih bertanggungjawab,” katanya kepada FMT.

Sebagai amalan lazim, katanya, Miti akan melaporkan prestasi “pelaburan yang diluluskan” itu, sambil menambah bahawa mungkin terdapat keadaan yang menyebabkan kelewatan dalam merealisasikan pelaburan.

Noor Azlan berkata, semua perjanjian pelaburan berpotensi mesti dikemukakan kepada Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI) untuk dinilai sebelum keputusan dibuat.

“Kita dengar ada pihak menandatangani MoU dan terdapat potensi pelaburan. (Bagaimanapun) selepas beberapa lama, kita tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.

Noor Azlan menggesa agar kerajaan mewujudkan struktur pelaporan standard untuk melihat sama ada sasaran pelaburan yang ditetapkan tercapai.

Beliau berkata, proses pelaporan itu dapat memberikan amaran kepada kerajaan dan agensi berkaitan tentang halangan yang dihadapi supaya mereka dapat bersedia untuk menanganinya.

Pada Rabu, Tengku Zafrul berkata, beberapa kementerian dan agensi telah menjalankan proses saringan yang telus dan komprehensif terhadap syarikat Malaysia sebelum membenarkan mereka menjalin kerjasama dengan rakan kongsi dari China.

Langkah ini diambil bagi memastikan kerjasama itu membawa manfaat ekonomi yang ketara bagi negara, katanya.

Tengku Zafrul menjawab Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Ghani, yang meminta kerajaan menjelaskan bagaimana syarikat tanpa rekod prestasi yang elok dibenarkan menandatangani MoU semasa kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini.

Di Dewan Rakyat pada Isnin, Johari meminta Miti dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) menjelaskan proses saringan yang membolehkan syarikat-syarikat sedemikian dipilih.

Beliau juga bertanya bagaimana Miti akan memastikan pemeteraian 19 MoU itu, yang dikatakan bernilai sekitar RM170 bilion, membawa manfaat buat rakyat Malaysia secara menyeluruh.

Tengku Zafrul menjelaskan bahawa angka RM170 bilion yang disebut itu ialah jumlah komitmen pelaburan, termasuk RM100.3 bilion pelaburan daripada syarikat korporat terkemuka China, dan RM69.7 bilion melibatkan 19 MoU antara perniagaan tempatan dan China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here