Lelaki didenda RM3,000 tumbuk bekas kekasih

0
121

SEORANG duda didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Melaka hari ini atas kesalahan mencederakan bekas kekasih dengan cara menumbuk muka serta merosak telefon bimbitnya.

Sinar Harian melaporkan, Majistret Mazana Sinin memutuskan hukuman itu selepas Juan Kee Hean, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Seow Li Cha, 34, dengan menumbuk muka dan mata kanan serta siku kiri dalam sebuah kereta Honda City di hadapan rumah, di Jalan Kenangan 1/4, Taman Kenanga Seksyen 1, Melaka, kira-kira pukul 10, malam pada 1 Julai 2022.

Pendakwaan itu dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kerosakan dan kerugian ke atas telefon bimbit Samsung milik wanita itu, pada tarikh, masa dan di tempat sama dan boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah menghubungi mangsa kira-kira pukul 10 pagi dan memintanya datang ke rumah bagi mengambil anak-anak kerana tiada orang hendak menjaga mereka.

Bagaimanapun mangsa memberitahu akan datang selepas waktu kerja dan ketika tiba di rumah pada pukul 10 malam, tertuduh menyatakan tidak perlu mengambil anak dan terus masuk ke kereta dan meminta dihantar ke kedainya.

Pengadu enggan berbuat demikian dan terus menghubungi abangnya sebelum tertuduh bertindak merampas telefon bimbit serta mencampakkan telefon bimbit itu ke luar tingkap.

Kemudian berlaku pergaduhan antara mereka yang mana tertuduh menumbuk muka, mata kanan dan siku kiri mangsa hingga luka dan mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Mangsa menjelaskan dia mempunyai tiga anak berusia 17, 12 dan lapan tahun bersama tertuduh, namun tidak pernah mendaftar perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan baharu dua bulan tinggal berasingan kerana tiada persefahaman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha memohon hukuman setimpal berdasarkan kecederaan dan kerugian RM240 dialami mangsa.

Bagaimanapun tertuduh diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab, Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan kerana tertuduh sudah insaf atas kesalahan yang dilakukan terhadap mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar bagi pertuduhan pertama dan denda RM2,000 atau 12 bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here