Wanita maut ditikam bekas tunang

0
168

SEORANG wanita maut selepas ditikam berkali-kali oleh bekas tunangnya dalam kejadian di sebuah kedai di pusat beli-belah di Jalan Haji Saman, Kota Kinabalu.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kira-kira 12 tengah hari tadi mengenai seorang wanita ditemui terbaring berlumuran darah di premis itu.

Katanya, sampai di lokasi kejadian polis mendapati mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai masih bernyawa dan seorang lelaki dipercayai suspek masih berada di premis itu.

“Pegawai perubatan yang tiba memberi bantuan kecemasan kepada wanita berkenaan tetapi mangsa meninggal dunia tidak lama selepas itu akibat kecederaan dialaminya.

“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang juga bekas tunang mangsa di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, polis turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa berusia 22 tahun.

Kalsom berkata, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti motif suspek membunuh mangsa.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya, menurut Harian Metro.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here