Bicara kes rasuah Bung Moktar, isteri mula Julai

0
150

PERBICARAAN kes Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Ab Samad, atas pertuduhan rasuah RM2.8 juta ditetapkan selama sembilan hari bermula Julai ini.

Tarikh itu ialah 10 hingga 14, serta 20, 21, 24 dan 25 Julai.

Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, tarikh itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, ketika sebutan kes itu hari ini.

“Tarikh bicara ditetapkan selepas keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes sama, pada 7 Julai ini,” katanya, lapor BH Online.

Media melaporkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap rayuan Bung Moktar dan Zizie Izette berhubung keputusan yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 7 Julai.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga didakwa menerima suapan RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here