Kenaikan OPR untuk kawal inflasi, bukan tindakan tergesa-gesa

0
151

KENAIKAN kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini bukan dibuat secara pra-matang, sebaliknya dipertimbangkan dengan teliti dalam usaha membendung inflasi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Ia adalah tindakan awal mengawal inflasi daripada menunggu sehingga sudah terlambat untuk mengambil berbuat sesuatu.

Nor Shamsiah menjelaskan, kenaikan OPR oleh bank pusat pada 3 Mei lalu, iaitu sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus, bertujuan untuk membantu memastikan Malaysia mempunyai pertumbuhan ekonomi yang mapan dan stabil, yang mana tidak akan capai jika inflasi tidak terkawal.

Beliau turut menekankan kepentingan kenaikan OPR BNM baru-baru ini sebagai langkah berjaga-jaga, sambil mengingatkan bahawa Malaysia masih perlu berwaspada untuk membendung inflasi.

Katanya, seperti yang diperhatikan oleh sesetengah pihak, tekanan kos semakin berkurangan dengan inflasi keseluruhan adalah lebih rendah, pada purata pada 3.6 peratus pada suku pertama berbanding 3.9 peratus untuk suku sebelumnya.

“Sebahagian besar aliran menurun ini didorong oleh harga RON97 yang lebih rendah, yang menyumbang kira-kira dua pertiga daripada penurunan pada suku pertama.

“Bagaimanapun, walaupun terdapat sedikit penyederhanaan, harga dijangka kekal tinggi berbanding dengan apa yang rakyat Malaysia telah biasa sebelum ini.

“Ini kerana permintaan kekal kukuh, didorong oleh pemulihan ekonomi. Inflasi teras, yang adalah proksi inflasi yang didorong oleh permintaan kekal tinggi, dengan purata 3.9 peratus pada suku pertama berbanding purata jangka panjang 2.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu respon bagi menjawab kritikan pihak yang mendakwa tiada sebab untuk OPR dinaikkan kerana inflasi di Malaysia telah menyederhana atau menurun.

Nor Shamsiah berkata, dari perspektif makroekonomi, keadaan ekonomi ketika ini telah melepasi paras pra-pandemik.

Oleh itu katanya, adalah wajar bahawa dasar makroekonomi ditentu ukur semula untuk mencerminkan perkara berkenaan dan secara umum, kembali ke tahap pra-pandemik.

“Berdasarkan latar belakang ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), memutuskan bahawa ia adalah masa yang sesuai untuk menormalkan OPR.

“Walaupun ada yang mendakwa bahawa langkah penormalan dasar kami adalah ‘pra-matang’, kami menyasarkan untuk (melaksanakan) ia lebih awal kerana ini mengurangkan kos ekonomi daripada menunggu sehingga terlambat untuk bertindak.

“(Jika tidak dibuat) Kenaikan OPR kelak akan menjadi lebih besar dan lebih pantas untuk menurunkan inflasi sebaik sahaja ia berakar, seperti yang kita boleh lihat di negara lain,” katanya.

Mengenai kritikan mengenai kenaikan OPR akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi, Nor Shamsiah berkata, mandat BNM adalah untuk mengekalkan kestabilan harga yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mapan.

“Dengan berbuat demikian, bank melaksanakan dasar monetari yang memenuhi kepentingan negara dengan objektif ini. Ini bermakna bukan sahaja mempertimbangkan kesan segera daripada tindakan kami, tetapi juga mengambil pandangan jangka panjang tentang langkah dasar kami, termasuk keputusan OPR.

“Keputusan masa lalu dan terkini mengenai OPR adalah berdasarkan prinsip ini. Pada setiap mesyuarat, MPC melaksanakan dasar ketat, mengimbangi antara risiko kepada pertumbuhan ekonomi dan inflasi.

“Bertemu dalam tempoh dua hingga tiga hari, kami meneliti dan membincangkan pelbagai petunjuk dan model makroekonomi untuk menilai kesihatan ekonomi dan inflasi.

“Kami juga menyemak maklum balas dan pemerhatian yang dikongsi dengan kami daripada isi rumah, perniagaan dan pemain pasaran, membolehkan kami mendapat pemahaman yang lebih baik tentang perkembangan dan keadaan ekonomi di lapangan, merentas semua segmen ekonomi,” katanya lapor Berita Harian.

Mengulas lanjut beliau menekankan, keutamaan MPC adalah bertindak secara berhemah dan berpandangan jauh ke hadapan.

“BNM adalah salah satu bank pusat pertama di rantau ini yang mula menormalkan kadar faedah tahun lalu, dan ini dapat dilihat dengan kadar inflasi kami lebih rendah daripada purata serantau.

“Kami juga mahu pertumbuhan berterusan secara stabil dan bukan merekayasa kelembapan dalam pertumbuhan atau kemelesetan untuk menurunkan inflasi.

“Ini adalah momokan yang dihadapi oleh beberapa negara yang ingin kita elakkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here