Sindiket judi dalam talian: 11 lelaki warga asing ditahan

0
232

TAKTIK sindiket perjudian dalam talian yang berselindung di sebalik sebuah kondominium mewah di Salak Selatan, Cheras, Kuala Lumpur terbongkar selepas 11 lelaki warga asing diberkas polis pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menahan 11 lelaki berusia 20 hingga 29 terdiri daripada seorang penyelia manakala selebihnya bertindak sebagai pegawai khidmat pelanggan dalam serbuan pada jam 12.30 tengah hari.

“Sindiket itu dipercayai menyasarkan pelanggan dari negara jiran khususnya Indonesia.

“Hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan menjadikan premis yang disewa itu sebagai ‘call centre’ dan mencari pelanggan bagi menawarkan permainan judi dan pembukaan akaun judi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada Sabtu.

Zam Halim berkata, sindiket itu dipercayai sebahagian daripada rangkaian sindiket judi luar negara.

“Hasil soal siasat mendapati premis berkenaan disewa pada kadar RM7,000 sebulan.

“Dianggarkan kira-kira 300 pelanggan melayari laman web perjudian dalam talian berkenaan dengan transaksi pembelian kredit RM500,000 hingga RM700,000 sebulan,” jelasnya.

Menurutnya, sindiket berkenaan mempromosikan judi dalam talian dengan menggunakan satu platform laman web.

“Pelanggan akan melayari laman web dan mendaftar secara percuma. Perjudian dijalankan menggunakan kredit yang dibeli dengan harga bermula dari 25,000 rupiah atau sekitar RM7,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial yang masih sah itu direman empat hari bermula Jumaat hingga Isnin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Sebanyak 253 serbuan dijalankan melibatkan kes perjudian di daerah ini sejak Januari hingga Mei dengan kadar pertuduhan sebanyak 249 kes atau 98 peratus,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here