TIGA maut termasuk dua beradik dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuh Raya Pan Borneo hala Sri Aman-Engkelili, dekat Kuching, semalam.
Mangsa Pauline Simba Jua, 34, yang berasal dari Rumah Panjang Mandau Lempaong, Betong, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Elizabeth Jua, 33, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Engkelili.
Sementara, pemandu kereta Perodua Viva yang mereka naiki, Carlos Nelson, 22, turut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang kereta terbabit, Ling Unang, 38, pula parah.
Tiga lagi mangsa termasuk dua anggota tentera yang menaiki kereta Proton Saga yang terbabit dalam kemalangan itu turut parah.
Anggota tentera terbabit, kedua-duanya berasal dari Perak ialah Mohammad Taufiq Hidayat Othman, 24 dan Mohamad Noor Salam Ab. Jalil, 31, manakala pemandu kereta dinaiki, Aden Fabian, 26, berasal dari Kampung Quop, Kuching.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.38 petang.
“Sembilan anggota termasuk dua anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
“Setibanya di lokasi, didapati dua kenderaan iaitu Perodua Viva dan Proton Saga bertembung yang membabitkan tujuh mangsa.
“Dua penumpang bahagian belakang Perodua Viva sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba manakala dua lagi termasuk pemandu tersepit di dalam kenderaan dan disahkan maut di tempat kejadian.
“Seorang lagi mangsa yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Engkelili pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa yang parah menerima rawatan lanjut di Hospital Sri Aman, lapor Harian Metro.