KPD N. Sembilan sita 37,570 liter diesel bersubsidi

0
187

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menyita 37,570 liter minyak diesel bersubsidi di sebuah premis terbuka di Kampung Sungai Nipah, Port Dickson, semalam.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata dalam serbuan menerusi Op Tiris sejak pukul 11.30 pagi Rabu hingga petang semalam itu, pihaknya turut merampas dua lori tangki dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM114,755.

“Lokasinya di dalam ladang kelapa sawit dan kita menemukan premis terbuka yang mempunyai dua skid tank dan dua lori tangki yang masih belum dimatikan enjinnya. Tiada individu berada di premis itu dan disyaki melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan serbuan.

 “Pemeriksaan menyeluruh mendapati terdapat minyak disyaki diesel ditemukan di dalam skid tank dan lori tangki. Ketika serbuan, kita dapati sedang berlaku proses pemindahan minyak diesel dari satu lori tangki ke lori tangki kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata satu kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dibuka bagi mengenal pasti individu atau syarikat terlibat serta rantaian pengedaran minyak diesel itu termasuk sumber minyak diesel diperoleh dan diedarkan.

Muhammad Zahir berkata pihaknya akan terus menggerakkan penguatkuasaan selain tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN khususnya dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan diesel yang mempunyai kepentingan kepada awam.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here