Kes samun: Wanita antara empat ditahan

0
159

SEORANG wanita antara empat individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes samun yang menyasarkan golongan wanita di sekitar Rawang dan Hulu Selangor pada 13 dan 15 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata kesemua suspek berusia 28 tahun hingga 47 tahun itu, ditahan susulan laporan daripada seorang wanita yang disamun pada 10 Mei.

Beliau berkata polis turut merampas antaranya dua kenderaan curi yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah, dua telefon bimbit, satu set pakaian dan seutas rantai emas.

“Dua suspek mempunyai lebih 20 rekod berkaitan jenayah dan dadah, manakala dua lagi tiada sebarang rekod jenayah. Dua daripada mereka juga positif dadah hasil ujian air kencing.

“Pihak polis juga sedang mencari seorang lagi suspek lelaki yang masih bebas dipercayai rakan jenayah mereka,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor, Selangor hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kesemua mereka telah aktif sejak tiga tahun lepas dengan modus operandi menyasarkan golongan wanita di kawasan yang kurang menjadi tumpuan orang ramai untuk melakukan kegiatan samun.

Ahmad Faizal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397A kanun sama kerana samun dan curi kenderaan.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata dua lagi lelaki berusia 36 dan 37 tahun ditahan di sekitar Batu Caves dan Petaling Jaya kerana disyaki terlibat dengan kegiatan samun dengan menyamar sebagai anggota polis.

Beliau berkata penahanan mereka susulan daripada kes samun kedai runcit di Jalan Meranti, Batang Kali menyebabkan kerugian RM17,000 pada 13 Mac lepas.

“Modus operandi mereka menyasarkan kedai runcit untuk melakukan samun dengan menyamar sebagai anggota polis sejak awal tahun ini. Polis turut merampas antaranya satu telefon bimbit, sebuah motosikal jenis Kawasaki, satu ves warna hijau dan biru berlogo polis dan dua topi keledar,” katanya.

Menurutnya semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala ujian air kencing mereka negatif dadah.

Katanya mereka direman bermula 16 hingga 22 Mei sebelum disambung reman serta dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul berkaitan kes lain.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here