Dua polis trafik didakwa rasuah

0
169

DUAanggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan rasuah berjumlah RM3,900 pada tiga tahun lalu.

Menurut laporan Kosmo!, rasuah itu bertindak sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki.

Kedua-dua tertuduh iaitu Muhammad Nazmi Baharum, 33, dan Mohammad Alqayyum Hasim, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, mereka yang bertugas sebagai anggota polis trafik di Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Siasasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Bukit Aman, Kuala Lumpur dengan niat bersama telah meminta suapan wang tunai RM3,000 dan menerima RM900 daripada seorang lelaki berusia 27 tahun.

Ini sebagai dorongan tidak menangkap lelaki tersebut yang mempunyai tiga waran tangkap atas kesalahan trafik.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 3.30 dan 4 petang masing-masing di bawah jejambat berhampiran Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Silk) dan perhentian bas berhampiran stesen minyak di Balakong pada 3 Oktober 2020.

Justeru mereka didakwa mengikut Seskyen 16 (a) (B) dan 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua tertuduh bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM pada setiap bulan.

Sementara kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan Muhammad Nazmi memaklumkan telah menghantar surat peletakkan jawatannya pada Mac lalu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan semua cadangan termasuk syarat tambahan daripada pihak pendakwaan.

Sebutan semula pada 13 Julai depan

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here