Dua ahli Parlimen PKR dilantik Pengerusi MDV, TDA

0
406

AHLI Parlimen Subang, Wong Chen telah dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif Malaysia Debt Ventures (MDV).

Dalam satu kenyataan, MDV berkata pelantikan ahli parlimen PKR itu berkuat kuasa semalam (23 Mei).

“Memandangkan pengalaman dan kepakaran luas Wong Chen, MDV yakin di bawah kepimpinannya, MDV akan terus memajukan syarikat teknologi dan syarikat baharu Malaysia untuk manfaat negara.”

Wong menggantikan Khairul Azwan Harun, yang tempoh perkhidmatannya berakhir pada 31 Dis 2022, lapor MalaysiaKini.

MDV adalah anak syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MOF (Inc)] dan sebuah agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ditubuhkan pada 2002, syarikat itu menyediakan kemudahan pembiayaan yang fleksibel dan inovatif untuk membangunkan sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang telah dikenal pasti dan diberi keutamaan oleh kerajaan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan negara.

Sementara itu, ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin pula dilantik sebagai pengerusi Technology Depository Agency (TDA), sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan.

Pelantikan ahli parlimen PKR itu berkuat kuasa 15 Mei.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin

“Semoga dengan pelantikan ini kan dapat memberi aspirasi kepada TDA dalam memacu pembangunan teknologi dan industri ke arah objektif dan sasaran negara selaras dengan mandat dasar-dasar Perolehan yang ditetapkan,” kata agensi itu dalam catatan di Facebook.

TDA ditubuhkan untuk mengurus, mentadbir dan memantau semua pelaksanaan aktiviti Program Kolaborasi Industri (ICP) di Malaysia untuk memastikan ia mematuhi proses dan keperluan seperti yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Pengurusan ICP Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here