Daim, Halim Saad membungkam tentang siasatan SPRM

0
163

BEKAS Menteri Kanan, Tun Daim Zainuddin dan ahli perniagaan, Halim Saad tidak menjawab sebarang soalan berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan penyelewengan dana awam bernilai lebih RM2.3 bilion.

Malaysiakini menghubungi kedua-dua mereka selepas sumber peringkat tinggi dalam suruhanjaya itu mengesahkan bahawa Daim dan Halim telah dipanggil untuk membantu siasatan minggu lalu.

“Mereka ialah Daim dan Halim Saad,” kata sumber itu ketika ditanya siapa bekas menteri kanan dan ahli perniagaan terkemuka yang dipanggil SPRM itu.

Bagaimanapun, sumber berkenaan enggan mendedahkan butiran lanjut kerana kes itu dianggap ‘sensitif’.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat kedua-dua mereka untuk mendapatkan ulasan dan juga mengemukakan beberapa soalan atas permintaan pembantu pejabat Halim.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang maklum balas diberikan.

Jumaat lalu, Bernama melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan ahli perniagaan terkemuka bergelar Tan Sri atas dakwaan penyelewengan yang berlaku pada 1990-an.

Semalam, FMT tanpa menyebut nama melaporkan dua orang dipanggil lagi untuk disoal siasat SPRM.

Siasatan tertumpu kepada pengambilalihan saham yang melibatkan syarikat tersenarai awam, yang didakwa menyebabkan kegawatan ekonomi Malaysia pada 1990-an.

SPRM dilaporkan turut meneliti pemilikan aset berharga oleh ahli perniagaan, bekas menteri kanan dan keluarga masing-masing di Malaysia dan luar negara.

Walaupun Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dengan SPRM mengenai butiran berkaitan syarikat itu, kemungkinan siasatan adalah mengenai pengambilalihan saham Renong Berhad oleh UEM pada November 1997.

Pengambilalihan 723 juta saham bernilai RM2.3 bilion dilaporkan telah menyebabkan Indeks Komposit KL menjunam sebanyak 20 peratus.

Halim adalah pemegang saham yang mengawal Renong pada masa itu. Beliau juga adalah pengerusi eksekutif syarikat ketika itu.

Beliau turut diberikan opsyen oleh UEM pada Januari 1998 yang memberi hak kepada syarikat itu untuk menjual balik 32.6 peratus saham Renong kembali kepadanya pada harga RM3.24 sesaham atau RM3.2 bilion.

Ini adalah harga ketika UEM memperoleh saham itu, yang mencetuskan bantahan dan tuduhan orang ramai bahawa Halim menggunakan UEM untuk menyelamatkan dirinya dan pemegang saham lain dengan menyokong harga saham Renong pada masa pasaran menjunam berikutan krisis kewangan Asia.

Menurut laporan berita, SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan itu kerana didakwa kononnya mendalangi pengambilalihan saham.

Daim, 85, pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan dua kali dalam tempoh pertama Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dari 1981-2003.

Beliau juga dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa penasihat khas (CEP) ketika Mahathir sekali lagi menjadi perdana menteri pada 2018.

Minggu lalu, Bernama melaporkan bahawa siasatan SPRM adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

“SPRM juga telah merakamkan kenyataan kira-kira 14 saksi dalam beberapa minggu lepas berhubung siasatan ini, termasuk daripada ahli perniagaan terkemuka dan seorang bekas menteri kanan mengenai dokumen sulit yang didedahkan oleh Kertas Pandora,” kata sumber itu.

Kebocoran Kertas Pandora berlaku pada 2021 apabila sumber tanpa nama berkongsi dengan ICIJ 2.94 terabait fail kewangan sulit, berjumlah lebih daripada 11.9 juta dokumen dan rekod lain, daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus syarikat cengkerang (shell) dan amanah di kawasan perlindungan cukai sekitar dunia.

Berikutan kebocoran itu, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin membidas Malaysiakini atas apa yang didakwanya sebagai ‘obsesi yang tidak berkesudahan’ portal berita ini terhadapnya.

Ini selepas Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai pegangannya di luar pesisir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here