Cari kaedah pelepasan lebih fleksibel individu berstatus bankrap, kata Muhyiddin

0
184

KERAJAAN digesa mencari kaedah pelepasan bersyarat lebih fleksibel untuk individu dilepaskan daripada status kebankrapan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) ketika membahaskan Rang Undang-undang Insolvensi (Pindaan) 2023 berkata, jika ia dilaksanakan dengan syarat dan perjanjian tertentu, lebih ramai individu dapat kembali membina kehidupan tanpa dibebani proses pelepasan status bankrap yang terlalu lama.

Beliau turut meminta kerajaan mengkaji semula proses pelepasan bankrap bagi warga Malaysia bekerja di luar negara, yang mungkin mengambil masa lama untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum memohon keizinan Jabatan Imigresen.

“Hakikatnya, kebankrapan adalah satu bentuk hukuman dan bukan skim pembayaran semula, sekiranya si bankrap menjalani hukuman pada suatu tempoh tertentu yang sesuai dengan berkelakuan baik, maka seharusnya pelepasannya daripada status kebankrapan disegera dan dipermudahkan, tanpa melihat nilai atau jumlah hutang am difailkan,” katanya di Dewan Rakyat.

Muhyiddin turut mempersoalkan keberkesanan kawal selia penyedia kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank yang semakin rancak di Malaysia, seperti perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL) bagi melindungi pengguna, khususnya belia.

Katanya, perkhidmatan BNPL yang kebanyakannya ditawarkan platform e-dagang mengenakan caj tinggi, jika terlewat bayar ansuran bulanan, termasuk faedah lebih tinggi berbanding caj kad kredit.

“Saya menggesa kerajaan mengambil langkah konkrit, segera dan pragmatik untuk mengatasi masalah insolvensi dalam kalangan rakyat.

“Dengan pendekatan komprehensif dan memfokuskan perlindungan dan pemulihan kewangan rakyat, diharapkan masalah ini dapat diatasi dengan lebih efektif,” katanya lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here