Saudi bakal tangkap jemaah tanpa visa haji mulai 19 Jun depan

0
410

JEMAAH warga Malaysia yang ketika ini sedang menunaikan umrah di Mekah dinasihatkan supaya keluar dari Tanah Suci itu selewat-lewatnya pada 18 Jun depan.

Demikian nasihat ‘mesra’ yang disampaikan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerusi ciapan dalam laman sosial rasmi Twitternya mengenai perkara tersebut yang turut memberikan amaran bahawa pemegang visa umrah tidak dibenarkan menunaikan haji pada bulan depan.

“Tarikh terakhir ketibaan jemaah dengan visa umrah ialah pada 4 Jun, manakala tarikh terakhir mereka perlu keluar ialah 18 Jun sebagai merujuk para jemaah yang datang ke Tanah Suci dengan menggunakan pakej umrah selama 15 hari 13 malam.

Susulan peringatan tersebut, tarikh terakhir penerbangan yang boleh membawa lagi bakal jemaah umrah dari luar negara ialah 3 Jun depan sebelum sempadan Arab Saudi ditutup.

Situasi berkenaan akan menyaksikan hanya penerbangan yang mengangkut jemaah haji dibenarkan masuk ke negara tersebut selain menerusi pintu sempadan darat Arab Saudi.

Selepas 18 Jun, pihak berkuasa Arab Saudi dijangka melakukan operasi besar-besaran bagi mengesan jemaah tidak memiliki visa haji di setiap bilik hotel yang terdapat di Mekah.

Mereka yang didapati memegang visa umrah akan ditahan kerana dianggap menyelinap untuk tinggal lebih masa tanpa permit di kota suci itu bagi mengerjakan ibadah haji pula.

Sekatan jalan raya juga akan dilakukan di semua laluan masuk ke Mekah dan kenderaan yang membawa jemaah tanpa visa haji akan diusir keluar atau diarahkan berpatah balik.

Musim haji tahun ini dijadualkan mulai 18 Jun sehingga 18 Julai depan dan dalam tempoh itu, sesiapa yang tiada visa haji akan dianggap sebagai kes pendatang asing tanpa izin.

Individu luar disabitkan bersalah oleh mahkamah Arab Saudi boleh dikenakan hukuman denda 50,000 riyal, penjara enam bulan dan diharamkan 10 tahun memasuki negara itu.

Amaran tersebut juga selaras dengan peringatan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada 13 Mei lalu agar umat Islam negara ini tidak menyalahgunakan visa umrah dan tidak mengeksploitasi visa pelancong bagi berada di Mekah sepanjang musim haji lapor Utusan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here