Hapus monopoli: Kenapa DNB saja jadi sasaran – Wan Saiful

0
124

AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyatakan keraguan berhubung usaha kerajaan menghapuskan monopoli yang didakwa hanya memfokuskan sektor terpilih sahaja.

Menurut beliau, kerajaan mungkin mempunyai agenda tersembunyi setelah memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian, yang akan menamatkan monopoli Digital Nasional Berhad (DNB).

“Kalau betul-betul nak hapuskan monopoli, kenapa DNB sahaja menjadi fokus kerajaan, sedangkan banyak lagi monopoli yang langsung tidak disentuh.

“Saya bagi contoh elektrik, air, lebuh raya dan Kementerian Pendidikan menjalankan sekolah amanah juga dimonopoli oleh satu syarikat sahaja.

“Kenapa ada tindakan terpilih sahaja jika betul nak hapuskan monopoli. Adakah benar kerajaan ini betul-betul nak hapuskan monopoli atau ada agenda tersembunyi untuk memperkayakan taikun-taikun dan kroni-kroni tertentu dengan pemberian kontrak yang besar nilainya,” katanya kepada pemberita dalam sidang mediadi lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Wan Saiful bertanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apakah jaminan kerajaan apabila DNB diserahkan kepada syarikat swasta kelak, kerajaan boleh mendapatkan penilaian seperti laporan yang pernah dikeluarkan oleh Maybank IB.

Wan Saiful juga mendakwa jawapan Anwar bahawa DNB digantikan dengan dua entiti yang akan diwujudkan yang akan beroperasi sebagai secara borong dan runcit kemungkinan tidak akan menghapuskan monopoli seperti yang dinyatakan oleh kerajaan.

“Bagi saya, ini satu jawapan yang signifikan kerana ia menjelaskan betapa model baru yang akan diwujudkan nanti tidak akan menghapuskan monopoli seperti yang dinyatakan oleh kerajaan.

“Sebenarnya apa yang sedang berlaku adalah banyak pembekal bagi 3G dan 4G, tetapi apabila wujudnya 5G nanti, model yang digunakan hanya ada dua syarikat sahaja yang akan membolot borong dan runcit seperti dikatakan oleh PM.

“Kalau ini berlaku dan maka sebenarnya apa yang dilakukan oleh kerajaan bukan menambah persaingan dalam pasaran. Apa yang dilakukan adalah mengurangkan persaingan di pasaran dan ini biasanya akan memberikan kesan negatif kepada pengguna,” katanya, lapor Malaysiakini.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB telah mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata mesyuarat Kabinet pada 3 Mei yang dipengerusikan Anwar bersetuju bahawa pelaksanaan 5G di bawah rangkaian tunggal akan diteruskan sehingga akhir 2023 apabila liputan dijangka mencapai 80 peratus kawasan berpenduduk.

Fahmi berkata, peralihan kepada model dwirangkaian itu akan dilaksanakan berpandukan syarat-syarat yang selari dengan amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here