PAS tempelak, sifatkan kenyataan P. Ramasamy dangkal, melucukan

0
196

KENYATAAN terbaharu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang menyerang dan menjadikan PAS sebagai kambing hitam disifatkan sebagai mahu menutup kegagalan kerajaan perpaduan di Putrajaya.

Berikut adalah kenyataan penuh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan;

PAS menganggap kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy bertajuk ‘Ramasamy: K’jaan perlu strategi lain bagi tangani PAS’ seperti disiarkan baru-baru ini agak melucukan, dangkal, malah cacat dari
banyak segi.

Pertama, selain memperakui kegagalan berterusan Putrajaya dalam memenangi kepercayaan rakyat sejak membentuk kerajaan pada tahun lepas, ia juga
merupakan satu percubaan lemah untuk menjadikan PAS sebagai kambing hitam atas kegagalan itu.

Tindak-tanduk, kenyataan dan dasar kerajaan yang caca-merba, bercelaru, saling bercanggahan, selain kegagalan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional menunaikan janji-janji yang pernah dibuatnya sebelum ini adalah punca utama kepada kemerosotan pengaruh dan imejnya di mata rakyat dan tidak sekali-kali mempunyai sebarang kaitan dengan PAS atau kecenderungan orang Melayu menyokong PAS.

Momok ‘cakap tak serupa bikin’ yang meniti dari mulut ke mulut rakyat hari ini berkaitan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
adalah manifestasi kegagalan itu dan sebagai pembangkang PAS tidak campur tangan atau bertanggungjawab ke atas momokan tersebut.

Justeru, daripada menjadikan PAS kambing hitam atau kesedaran agama dalam kalangan orang Melayu sebagai musuh perpaduan, adalah lebih berfaedah dan jujur sekiranya Ramasamy bercakap secara berterus terang kepada kerajaan yang disertai partinya supaya memperbaiki diri dengan dasar dan sikap yang lebih layak bagi sebuah kerajaan yang dikatakan berwibawa.

Kenyataan-kenyataan berani Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim khasnya yang mengkritik keterlanjuran dan kesilapan kerajaan dalam banyak isu adalah contoh yang baik berhubung sikap seorang penyokong yang jujur dan berhemah bagi menangani masalah dan kecamuk yang dihadapi oleh kerajaan secara dalaman.

Barangkali Ramasamy harus mencontohi YB Pasir Gudang dan tidak bertindak menyorok sampah dalaman kerajaan dengan menjadikan pihak lain sebagai sasaran.

Sebagai sebuah parti yang terlibat dalam politik negara sejak sebelum merdeka lagi, PAS amat maklum dan insaf tentang kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat negara kita yang berbilang kaum dan agama.

Sejarah membuktikan ketika negara terjerumus dalam konflik kaum yang paling buruk pun sebelum ini, negeri-negeri yang merupakan kubu kuat PAS terus aman tenteram dari segi perpaduan dan keselamatan antara kaum.

Namun perkara yang sama tidak boleh dikatakan benar bagi negeri-negeri yang kini dianggap sebagai kubu kerajaan.

Untuk makluman Ramasamy, hal keadaan ini berlaku bukan sahaja disebabkan oleh ajaran Islam yang sentiasa terbuka kepada kepelbagaian sebagai tanda kebesaran dan keadilan Tuhan, tetapi juga merupakan manifestasi budaya orang Melayu yang sederhana dan sentiasa bertolak-ansur terhadap semua pihak, termasuk mereka yang berlainan kaum atau agama.

Tanpa perlu berhujah terlalu panjang, kehidupan masyarakat berbilang kaum yang aman di Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah bukti hidup dan kekal akan hakikat itu.

Dalam pada itu, kenyataan beliau yang seolah-olah menisbahkan kesedaranberagama orang Melayu sebagai halangan kepada perpaduan masyarakat bukan sahaja cacat dan cela, malah berlawanan dengan realiti yang wujud dan diketahui umum.

Kesedaran dan amalan beragamalah yang sentiasa menjadi tunjang dan teras kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat, bukan
sebaliknya seperti yang cuba beliau isyaratkan.

Di sini jelas bahawa beliau tidak dapat menyembunyikan prejudisnya yang tebal terhadap Islam sebagai agama dan juga orang Melayu sebagai kelompok kaum majoriti di negara ini.

Perlu juga ditegaskan bahawa ini bukanlah kali pertama beliau mempamerkan belangnya itu kepada rakyat dan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here