Kerajaan PH-BN gagal penuhi harapan rakyat – Muhyiddin

0
201

KERAJAAN campuran PH-BN telah gagal memenuhi harapan rakyat yang mahu mereka menyelesaikan masalah dan kesulitan hidup yang sedang mereka alami hari ini, tegas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dalam kita meraikan sambutan Aidilfitri, rakyat sebenarnya sedang berhadapan dengan pelbagai kesukaran hidup akibat tekanan ekonomi disebabkan kegagalan kerajaan campuran PH-UMNO mengurus ekonomi dengan betul.

“Rakyat sangat berharap, kerajaan campuran dapat memikul tanggungjawab dan amanah menyelesaikan masalah dan kesulitan hidup yang sedang mereka alami.

“Malangnya harapan itu menjadi sia-sia sahaja kerana kerajaan campuran ini tidak berupaya mencari jalan membawa negara keluar daripada segala masalah ini,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebooknya hari ini (Isnin).

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menambah, kegagalan itu dapat dilihat kepada harga barang keperluan asas terus melambung dan kos sara hidup rakyat tidak terurus.

Selain itu ujarnya lagi, inflasi yang terus menekan kehidupan sehingga tidak nampak masa depan rakyat akan lebih terjamin dan selamat.

Sehubungan itu beliau yakin rakyat di Selangor dan negeri-negeri yang akan berhadapan dengan PRN tidak lama lagi akan membuat pilihan bijak dengan memilih PN.

Tegas bekas Perdana Menteri Kelapan itu, PN telah membuktikan komitmen serta keupayaan untuk sentiasa membela nasib rakyat ketika menjadi kerajaan Pusat dahulu.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada penganjur majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PN di Shah Alam malam tadi yang disifatkannya mendapat sambutan luar biasa rakyat Selangor.

“Tahniah kepada semua ahli parti komponen Perikatan Nasional, BERSATU, Pas dan Gerakan khususnya YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana berjaya menganjurkan majlis besar sebegini dengan jayanya.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada seluruh penyokong dan pendukung Perikatan Nasional yang hadir memeriahkan majlis malam tadi,” ujarnya.

Muhyiddin menambah, beliau amat gembira dan kagum melihat puluhan ribu rakyat negeri Selangor berduyun-duyun hadir bagi menyemarakkan semangat ukhuwah, mengeratkan silaturahim dan persaudaraan bukan sahaja sesama Islam tetapi sesama rakyat Malaysia seluruhnya.

Katanya, kehangatan sambutan itu dapat dirasai ketika dalam perjalanan ke majlis dengan kenderaan sesak di sepanjang jalan.

“Kehadiran puluhan ribu rakyat yang memenuhi dewan dan khemah di luar menjadi petanda awal sokongan luar biasa rakyat Selangor kepada PN menjelang PRN tidak lama lagi.

“Saya yakin jumlah kehadiran yang luar biasa pada malam ini insya-Allah akan diterjemahkan dalam bentuk undi kepada PN pada PRN nanti.

“Dengan izin Allah kita akan tawan Selangor dan Negeri Sembilan selain mengekalkan kuasa di negeri-negeri yang telah kita kuasai sebelum ini,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here