Mahkamah benar kerajaan, peguam negara cabar saman LFL terhadap Malaysia, Singapura

0
121

MAHKAMAH Persekutuan memberi kebenaran kepada kerajaan dan peguam negara untuk membuat permohonan rayuan membatalkan saman kumpulan hak asasi terhadap kedua-dua kerajaan Singapura dan Malaysia.

Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli berkata, pemohon memenuhi keperluan undang-undang untuk rayuan merit mereka didengar.

“Kami telah mempertimbangkan hujahan bertulis dan lisan (pihak tersebut). Pada pandangan kami, soal memberi kebenaran yang dikemukakan telah melepasi ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya, lapor FMT.

Hakim Zabariah Yusof dan Hasnah Hashim turut menganggotai panel mendengar permohonan itu.

Dalam kes sivil, Mahkamah Persekutuan hanya akan mendengar rayuan atas meritnya jika pemohon membangkitkan persoalan undang-undang yang sebelum ini tidak diputuskan oleh mahkamah tertinggi atau melibatkan persoalan penting yang keputusannya akan menguntungkan orang ramai.

Pada 20 Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Lawyers for Liberty (LFL) untuk mengembalikan semula saman pemula yang telah dikeluarkan terhadap Menteri Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam.

Ini selepas peguam negara berjaya mencelah untuk membatalkan saman itu memandangkan perkara itu pada asalnya dari Mahkamah Tinggi.

Pada hari sama, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Yaacob Sam juga membenarkan rayuan LFL untuk menyemak satu lagi saman difailkan terhadap kerajaan Malaysia yang bertujuan menghalangnya daripada membantu kerajaan Singapura dalam perkara itu.

Keputusan Mahkamah Rayuan bermakna Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikehendaki mendengar kedua-dua saman atas merit kes itu.

Hari ini, mahkamah membenarkan tujuh persoalan undang-undang, antaranya sama ada mahkamah Malaysia boleh menjalankan bidang kuasa mendengar perkara di mana kekebalan kedaulatan terhadap tindakan kerajaan asing dibangkitkan.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili peguam negara dan kerajaan, manakala Gurdial Singh Nijar mewakili LFL.

Pada 24 Januari 2020, LFL telah memfailkan untuk mencabar ‘arahan pembetulan’ dikeluarkan kerajaan Singapura di bawah undang-undang kontroversi negara itu, Akta Perlindungan daripada Berita Palsu dan Manipulasi Atas Talian (Pofma).

Kumpulan hak asasi manusia itu berkata, arahan itu dikeluarkan berkenaan dengan perkara diterbitkan LFL mengenai kaedah pelaksanaan hukuman mati yang didakwa mereka ‘kejam dan di luar batas undang-undang’ di Penjara Changi.

Kenyataan 2020 dikeluarkan kerajaan Singapura di portal rasminya mengatakan dakwaan LFL itu mengandungi ‘kenyataan palsu’.

Kementerian Dalam Negeri Singapura juga menyifatkan dakwaan itu ‘tidak benar, tidak berasas, dan tidak masuk akal’, sambil menambah bahawa semua pelaksanaan kehakiman di negara itu dilakukan dengan mematuhi undang-undang ketat.

Saman difailkan LFL adalah untuk memohon pengisytiharan mahkamah bahawa menteri berkenaan atau mana-mana orang bertindak di bawah bidang kuasanya tidak boleh mengambil sebarang tindakan menguatkuasakan mana-mana peruntukan Pofma di luar wilayah terhadapnya di Malaysia.

Dalam samannya terhadap kerajaan Malaysia, LFL memohon pengisytiharan bahawa ia mempunyai hak menyatakan pendapatnya di Malaysia mengikut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang mengawal hak kebebasan bersuara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here