Isu kalimah Allah: Pas Kelantan bimbang keputusan KDN dipengaruhi pihak tertentu

0
128

PAS Kelantan bimbang sekiranya keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tentang kes kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan sebutan Solat dalam penerbitan agama Kristian dibuat kerana dipengaruhi pihak tertentu yang mungkin dalam kalangan sekutu politik Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menjelaskan, sebelum membuat keputusan tersebut, kerajaan khususnya KDN perlu mengadakan libat urus dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).

Menurut Nassuruddin, agensi terbabit diberi hak oleh Mahkamah Rayuan untuk menjadi sahabat Mahkamah dalam penghujahan yang akan diadakan di Mahkamah Rayuan.

“KDN juga sepatutnya konsultasi dengan semua pemegang taruh, terutamanya pihak institusi diraja, yakni Tuanku Al-Sultan selaku Ketua Agama Islam di negeri dan Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan.

“Pas Kelantan bimbang tindakan tergesa-gesa KDN tersebut dibuat kerana dipengaruhi pihak tertentu yang mungkin dalam kalangan sekutu politik kerajaan campuran Madani sekarang.

“Pas Kelantan juga memohon ampun perkenan pihak istana, mencadangkan kepada Kerajaan Madani khususnya KDN agar bertindak lebih rasional dalam isu tersebut demi mempertahankan hak agama Islam terutamanya penggunaan kalimah Allah yang tidak perlu dikongsi dengan agama lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, kerajaan dan KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dilaporkan sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan KDN menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah lapor Astro AWANI.

Beliau dalam sidang medianya pada Selasa memaklumkan keputusan KDN tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill Ireland lawan Kerajaan Malaysia adah disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here