Sanusi sahkan dijemput hadiri LIMA ’23

0
174

MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan menerima jemputan bagi menghadiri acara berprestij Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23).

Pameran pertahanan dan keselamatan yang memasuki edisi ke-16 itu bakal berlangsung di pulau ini mulai 23 hingga 27 Mei ini.

“Sudah…. sudah, terima kasih kepada yang menjemput),” katanya ringkas pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Daerah Langkawi di sini, hari ini.

Mengulas persediaan Kedah sebagai tuan rumah acara itu, beliau berkata, semua agensi berada pada tahap terbaik untuk memastikan penganjuran LIMA ’23 berjalan lancar.

“Bagi LIMA ’23 saya rasa semua (agensi) sudah bersedia dan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

“Malam ini saya akan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) untuk pastikan bekalan air di pulau ini mencukupi,” katanya lapor Berita Harian.

Pada waktu sama, beliau menasihatkan peniaga setempat tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan perkhidmatan sehingga memburukkan nama Langkawi sebagai tuan rumah.

“Kalau jual roti canai dengan harga RM5 sekeping, itu maknanya memberi kenangan pahit kepada pengunjung, jadi jangan lakukan apa-apa yang boleh memberi kenangan pahit kepada mereka.

“Jangan kita lakukan perkara yang akan tonjol nama tidak elok kepada Langkawi, jaga kebersihan dan keselamatan, Insya-Allah LIMA ’23 akan berjaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here