Kalimah Allah : Dr.Zulkifli minta Saifuddin beri penjelasan kepada umum

0
282

ALIM Ulama dan Peguam Islam mula bersuara bagi melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap tindakan Kerajaan Madani melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan mengenai penggunaan kalimah Allah dałam kitab agama lain selain Islam.

Datuk Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui Facebook beliau, meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi penjelasan kepada umum mengenai tindakan KDN itu.

Beliau dengan tegas mengingatkan Saifuddin bahawa bahawa keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2008 telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain harus dipertahankan oleh kerajaan.

“Paling utama, keputusan untuk rayuan semula kes pada tahun 2021 adalah bagi menjunjung titah KDYMM Sultan Johor dan KDYMM Sultan Selangor, yang menitahkan Kerajaan Persekutuan pada ketika itu membuat rayuan semula bagi keputusan Mahkamah Tinggi tersebut,’’ katanya.

Kata beliau,  rayuan tersebut dibuat atas dasar kesedaran akan keperluan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah, dan Solat kekal menjadi milik umat Islam di Malaysia.

“Setelah segalanya lengkap, saya bentangkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan proses rayuan oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu melalui Kementerian Dalam Negeri dimulakan.”

“Saya amat berharap Kerajaan Madani melalui Kementerian Dalam Negeri ada jawapannya. Ini kerana YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail selaku Menteri Dalam Negeri memaklumkan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat berhubung isu kepentingan umat Islam ini,”katanya.

Sementara itu,  Presiden Badan Peguam Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mendedahkan KDN dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan mereka terhadapa keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland binti Lawrence Bill menggunakan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain bagi penggunaan orang bukan Islam dalam agama mereka.

Katanya,  KDN telah menarik secara senyap-senyap rayuan tersebut pada 8 April 2023 yang lalu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here