Tahniah Azam, PAS alu-alukan lanjutan khidmat KP SPRM

0
125

TAN Sri Azam Baki akhirnya mendapat keadilan berikutan lanjutan kontraknya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, kata PAS mengucapkan tahniah kepada peneraju suruhanjaya antirasuah negara itu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu sentiasa yakin dengan penafian Azam berhubung dakwaan mengumpul kekayaan di luar kemampuannya.

“Walaupun pernah berdepan dengan beberapa dakwaan yang lebih berbentuk tohmahan salah laku termasuk berkaitan pemilikan saham dalam beberapa syarikat sebelum ini, PAS secara konsisten percaya malah menerima kenyataan penafian beliau berhubung perkara itu, sekali gus menghalang percubaan pihak-pihak berkepentingan untuk menimbulkan keraguan terhadap maruah dan integritinya secara peribadi dan SPRM sebagai institusi penting negara.

“PAS percaya pelanjutan tempoh perkhidmatan beliau ini turut mengesahkan kepercayaan tersebut dan menolak persepsi buruk yang cuba dilontarkan terhadap beliau dan SPRM oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu,” katanya pada satu kenyataan hari ini lapor Malaysiakini.

Kata Takiyuddin lagi, dengan pelanjutan perkhidmatan Azam walaupun telah mencapai umur persaraan wajib, maka ia membuktikan bahawa dia seorang pembanteras rasuah yang berkesan.

Semalam, kerajaan mengumumkan tempoh perkhidmatan Azam sebagai ketua SPRM dilanjutkan setahun lagi, berkuat kuasa 12 Mei.

Dia dilantik pada 2020 semasa era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dua tahun kemudian, dia menafikan dakwaan bahawa dia telah mengumpul sejumlah besar saham dalam sebuah syarikat tersenarai awam.

Susulan itu, dia mendakwa tiada konflik kepentingan atau pelanggaran peraturan kerana saham itu diperoleh abangnya yang meminjam akaun dagangannya.

Penjelasan ini telah ditolak oleh beberapa pemimpin DAP dan PKR ketika itu.

Menjelang PRU15, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli malah berkata,”lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki”.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here