Pertuduhan mahu rosakkan nama baik saya – Hamzah

0
169

BEKAS Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengaitkan nama beliau dalam  pendakwaan ke atas seorang ahli perniagaan.

Sambil memaklumkan beliau telah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM petang ini bermula pukul 4.30 petang hingga 7 malam, Hamzah menyifatkan apa yang dilakukan bertujuan memburukkan nama beliau, Bersatu dan Perikatan Nasional.

Berikut kenyataan penuh beliau:

HARI ini Ketua Setiausaha Negara mengumumkan perlanjutan kontrak khidmat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, untuk tempoh setahun lagi. 

Tahniah saya ucapkan kepada Tan Sri Azam Baki atas pengiktirafan kerajaan bahawa khidmat beliau amat diperlukan pada waktu ini. Saya percaya perlanjutan ini tiada muslihat tertentu.

Hari ini juga SPRM telah mengenakan empat pertuduhan rasuah terhadap individu bernama Sim Choo Thiam. Pertuduhan tersebut menyebutkan bahawa ia membabitkan projek-projek di bawah Kementerian Dalam Negeri semasa saya menjadi Menteri Dalam Negeri. Malah pertuduhan tersebut juga menyebutkan nama saya.

Itulah yang janggal dan menghairankan saya kenapa nama saya disebut sedangkan saya tiada pembabitan langsung. Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan tersebut ia menyebut bahawa suapan adalah untuk “mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri”. Jadi apakah projek yang menjadi hal perkara rasuah yang dimaksudkan?.

Jelas pertuduhan sebegitu sengaja diada-adakan dan dibuat sebegitu rupa untuk mengheret nama saya dalam perkara yang tidak langsung membabitkan saya. Ini siri fitnah untuk menekan orang- orang serta ahli perniagaan tertentu supaya memalitkan dan menuding jari terhadap saya demi mencemarkan nama saya.

Lebih janggal apabila saya hanya dirakam keterangan pada petang ini bermula kira-kira pukul 4.30 petang hingga pukul 7 malam oleh pegawai SPRM selepas pertuduhan ke atas Sim Choo Thiam telah dibawa ke mahkamah.

Pertuduhan yang mengheret nama saya ini jelas bertujuan untuk merosakkan nama baik saya, BERSATU dan Perikatan Nasional. Lebih-lebih lagi Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO sendiri sebelum ini secara terbuka menyebut rancangan untuk mewujudkan kluster mahkamah dari kalangan pemimpin BERSATU dan Perikatan Nasional.

Saya percaya, ini adalah kerana mereka bimbang dengan kekuatan Perikatan Nasional, yang mana sokongan rakyat akan diterjemahkan sekali lagi dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Saya juga faham ada pihak tertentu yang panik dengan kedudukannya yang sedang goyah ketika ini tetapi janganlah bertindak sehingga menyebabkan rakyat merasakan SPRM boleh diperalat oleh pemimpin tertentu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here