Jatuhkan kerajaan… kenapa Anwar resah?

0
147

Oleh Zulkiflee Bakar

ANWAR Ibrahim sudah menyatakan keyakinan beliau bahawa Kerajaan Perpaduan akan bertahan sehingga habis penggal.

Timbalan beliau, Zahid Hamidi yang membawa BN-UMNO ‘menumpang kuasa’ dalam kerajaan beri jaminan bahawa kesemua ahli Parlimen BN menyokong Anwar dan tidak akan letak jawatan.

Paling kritikal dan paling penting ialah DAP parti yang diibaratkan ‘memegang nyawa’ Kerajaan Perpaduan melalui Setiausaha Agungnya, Anthony Loke menegaskan, kerajaan itu semakin kukuh dan stabil.

Beliau juga menegaskan, sebarang usaha cuba menjatuhkan kerajaan itu hanya akan memperkuatkan semangat dan iltizam parti-parti di bawahnya.

Jadi pihak kerajaan tidak perlulah kelam kabut sangat sampai hampir kesemua pemimpin kanan parti dalam kerajaan bercakap perkara itu. Ia tak termasuk ahli politik pencen yang minta Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang isytihar mereka tidak akan jatuhkan kerajaan.

Sepatutnya bila Anwar dah yakin, Zahid ‘buat-buat’ yakin dan Anthony beri keyakinan, isu mahu jatuhkan kerajaan tidak perlu diperbahaskan lagi. Tambahan pula, Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin sudah menjelaskan, beliau …’’tidak pernah bermimpi setiap minggu..yang hang mengigau kenapa.’’

Hamzah menjawab tuduhan Anwar bahawa beliau ‘mengigau’ nak tukar kerajaan. Anwar juga cabar mana-mana pihak kalau ada cukup sokongan buktikan di Parlimen.

Mungkin maksudnya, mesti memenuhi kriteria ‘’KUKUH DAN MENYAKINKAN’ untuk tubuh kerajaan baharu. Dan paling penting individu berkenaan mempunyai ‘keyakinan luar biasa’ untuk mengumumkan pada sidang akhbar yang disiarkan ke seluruh negara dan mendapat liputan media antarabangsa bahawa:

‘’Dengan sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan ini, bermakna kerajaan (sebut nama PM) jatuh,.’’ Situasi ini berlaku pada September 2008 dan September 2020.

Siapa terlibat? Bagaimana berlaku? dan Apa kesudahannya selepas itu… biarlah ia menjadi sejarah, walaupun ada orang kata, ‘’La ni setakat mengigau tak apa…dulu ada orang ibarat dah ‘jalan dalam tidoq’ pi Istana nak cakap ada cukup sokongan’’.

Apapun semua itu coretan kekalutan politik negara. Apa yang penting sekarang Anwar tidak perlu risau sangat, hinggakan pergi ke mana sahaja asyik membangkitkan perkara yang sama. Kalau Anwar sudah yakin dengan sokongan yang ada, beliau patut bertenang, jangan kelam kabut. Sebab situasi sekarang tak sama macam Anwar jadi Ketua Pembangkang dulu.

Anwar sekarang Perdana Menteri (PM) bukan Pembangkang Malaysia (PM). Bila berhujah kena berhati-hati,mahu menegur biarlah berhemah. Tak boleh bawa sindrom ‘Hari ini kita menang, esok minyak turun’ ketika menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.

Sebagai Perdana Menteri, Anwar patut tumpu pulihkan ekonomi negara dan masalah rakyat. Penyelesaian masalah ekonomi negara sekarang lebih kepada ‘kita akan kaji’ dan ‘formula’ oleh pak Menteri. Rakyat tidak nampak apa-apa signifikan yang dilakukan oleh kerajaan dalam membantu mereka.

Yang kita dengar ialah OPR naik itu urusan Bank Negara Malaysia (BNM), telur tak ada sebab ayam tak bertelur, KWSP tak boleh keluar sebab itu simpanan hari tua tapi buat cagaran pinjam bank boleh. Harga barangan makanan mahal jangan risau ‘Rahmah kan ada’.

Sebab itulah rakyat mentafsirkan, kerajaan hari ini ‘cakap lain buat lain’ dan lebih banyak mencari kesalahan kerajaan terdahulu. Tidak cukup dengan itu di mana-mana sahaja Anwar berucap beliau akan bercakap soal penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa dan kini isu nak jatuhkan kerajaan.

Bukan tak boleh cakap soal rasuah atau nak jatuhkan kerajaan tetapi biarlah berpada-pada.Sebab dah muak setiap hari di mana saja cakap isu sama sedangkan masalah berlambak-lambak tak diselesaikan lagi.

Anwar sepatutnya tidak resah sangat soal jatuhkan kerajaan sebab beliau boleh mendapatkan maklumat sahih berhubung perkara itu daripada pihak berkuasa. Lagipun Anwar kan bersedia bertarung di Parlimen.

Oleh itu tidak perlu nampak macam ‘kat luar nampak tenang tapi kat dalam dah nak tsunami’. Anwar perlu yakin Zahid akan pastikan ahli Parlimen BN bersama beliau. Tak kanla Zahid nak buat seperti mana dulu, UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin atau desak bubar Parlimen seperti mana dialami Ismail Sabri.

DAP lagi lah setia kepada Anwar dan kerajaan sebab mereka ‘sama-sama susah dan senang’, dulu jadi kerajaan 22 bulan, sekarang tak kan mereka nak ia berulang kembali?

Lagipun apa yang dialami oleh Anwar dan kerajaan hari ini anggap sahaja ‘hukum karma’, dulu masa pembangkang beria-ia buat ‘gempaq’ ada nombor sampai politik negara tak stabil walaupun ketika pandemik Covid-19. Sekarang pandai pula pemimpin kerajaan khususnya UMNO memekak soal jangan jatuhkan kerajaan demi kestabilan politik dan bimbang pelabur asing tak datang.

Kesimpulannya, penulis tidak pasti sama ada benar akan berlaku pertukaran kerajaan. Cuma bila dengar-dengar orang sembang ‘naik juga bulu roma’ mungkin sebab itu Anwar resah.

Tetapi rasanya Anwar tak perlu ‘panik’ cuma Anwar perlu bertanya Zahid sejauh manakah ‘anak muridnya’ itu ‘ada pengaruh’ ke atas kesemua ahli Parlimen BN, contohnya dalam 15 orang ke?..Contoh saja….janganlah panik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here