Orang Melayu sedang ditipu terang-terangan- Hadi

0
139

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengajak orang Melayu menyertai ‘perpaduan’ yang diusahakannya agar bangsa berkenaan dapat diselamatkan, sekali gus mencontohi langkah yang didakwanya dilakukan Nabi Muhammad SAW dulu.

“Orang Melayu ‘ditipu secara terang-terangan’ akibat sikap lalai serta jahil masing-masing,” kata Ahli Parlimen Marang itu.

Menurut beliau lagi, orang Melayu menjadi mangsa dalam langkah politik negara, selain menghadapi masalah rasuah, keruntuhan moral dan lain-lain termasuk perpecahan dalam hal cabang agama serta perebutan harta.

“Kaum Melayu dipermain-mainkan dan ditipu secara terang-terangan dalam kejahilan serta kelalaian mereka,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.

Abdul Hadi yang pernah dilantik sebagai duta khas bertaraf menteri dalam keraaan sebelum ini menegaskan orang Melayu tidak boleh membiarkan kuasa politik yang masih ada terlepas kerana jahil dan leka.

“Selamatkan keadaan hari ini dengan perpaduan bangsa Melayu Islam, sepertimana Rasulullah SAW memulakan dengan perpaduan bangsa Arab,” katanya.

Gesaan Abdul Hadi dan Pas ke arah perpaduan berteraskan Melayu bukanlah baru. Ia semakin ketara dibuat parti itu selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018 dan menyaksikan Pas bekerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional.

Keputusan PRU ke-15 tahun lalu menyaksikan Pas tidak menjadi sebahagian kerajaan Pusat. Sebagai pembangkang Abdul Hadi antara pemimpin utama seteru kerajaan yang awal membayangkan bakal berlaku perubahan kerajaan di luar pilihan raya sekali lagi.

Terbaru Pas mengadakan kerjasama secara rasmi memberikan sokongan kepada inisiatif Proklamasi Orang Melayu yang diawali bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Inisiatif itu disebut mereka sebagai mahu menyatukan semua orang Melayu tanpa mengira parti.

Menurut Abdul Hadi, Pas menyokong inisiatif Mahathir untuk menemukan para pemimpin, ilmuwan, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang-orang yang berpengaruh dalam kalangan bangsa Melayu.

Pada masa sama Abdul Hadi menggesa pihak yang tenggelam kerana ‘menghalalkan segala cara’ untuk mencapai matlamat agar diketepikan.

Golongan terbabit, dakwa ahli politik berusia 75 tahun itu lagi, turut menyerang secara peribadi tokoh Melayu yang berjaya dalam politik, ekonomi, akademik dengan pelbagai ungkitan dan sindiran.

Abdul Hadi juga mendakwa masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu adalah golongan yang terbesar menjadi ‘penyakau’ serta terlibat dalam kegiatan rasuah.

Melayu yang bekerjasama dengan golongan terbabit, tambah Abdul Hadi, termasuk golongan cendekiawan yang meletakkan otak di dalam perut.

Dia juga mengumpamakan Melayu dan cendekiawan terbabit seperti kera.

“Pada masa yang sama, mereka itu bersekongkol dengan kalangan yang nyata bukan Islam dan bukan Melayu yang paling besar dan banyak penyakaunya, paling ramai yang kaya-raya menjadi penyumbang dan penerima rasuah.

“Bahkan, turut bersamanya kalangan yang ekstrem politiknya terhadap Islam dan Melayu, kalangan media yang membawa suara syaitan yang menggoda orang Melayu dan kalangan ilmuwan yang otaknya diletak ke dalam perut, mereka melompat laksana kera yang bergayut di mana pokok yang lebat buahnya termasuk buah beracun dan memabukkan,” katanya, lapor Malaysiakini.

Untuk rekod sebelum ini Abdul Hadi pernah mendakwa kalangan orang bukan Islam dan bukan Melayu adalah golongan yang terlibat dalam kegiatan rasuah, sama ada sebagai pemberi atau penerima.

Dakwaan itu dikatakan dibuat berdasarkan kepada kajian peringkat PhD sebuah universiti tempatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here