Jelaskan kenaikan OPR kepada rakyat, kata Ahli Parlimen PKR kepada Anwar, Rafizi

0
151

AHLI Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim mahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan kenaikan kadar faedah terbaharu oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, langkah bank pusat berkenaan tidak selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi dan menangani kos sara hidup yang tinggi.

Hassan juga berkata presiden PKR Anwar dan timbalannya Rafizi akan bersetuju bahawa golongan B40 dan M40 akan paling terjejas oleh kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3%.

“B40 dan M40 merupakan 80% rakyat Malaysia. Mereka menghadapi masalah kewangan dan ekonomi sekarang,” katanya.

“Saya berharap Rafizi dan Anwar, yang juga menteri kewangan perlu jelaskan kepada rakyat tentang kenaikan kadar OPR ini.

“Jadi saya tidak mahu rakyat di enam negeri yang akan berdepan dengan pilihan raya negeri menempelak kerajaan dengan pertanyaan mengenai kenaikan OPR,” katanya lapor FMT.

Kritikannya itu susulan kenyataan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin semalam yang mempersoalkan sama ada Anwar, sebagai menteri kewangan, adalah “menteri untuk pemilik bank atau untuk rakyat?”.

Hantaran Ahli Parlimen GPS itu dilampirkan pada satu laporan berita mengenai Anwar yang mengkritik pendahulunya Tengku Zafrul Aziz untuk kenaikan OPR pada 2022, di mana beliau telah mengemukakan perkara sama kepada Zafrul semasa berkempen pada PRU15 November lalu.

Pada Rabu, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3%, yang menimbulkan kebimbangan bahawa rakyat Malaysia perlu membayar lebih untuk pinjaman bank mereka.

Bank pusat itu telah menaikkan OPR lima kali sejak Mei tahun lalu, berjumlah 125bps atau 1.25%, selepas ia dikekalkan pada paras terendah sepanjang masa pada 1.75% sejak Julai 2020, semasa pandemik Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here