Polis buru tiga suspek bantu selesai kes tembak di Bachok

0
570

POLIS Kelantan sedang mengesan tiga individu bagi membantu siasatan berkaitan kes seorang lelaki berumur 27 tahun cedera di kaki kanan akibat terkena tembakan dalam kejadian di Kampung Tepus dekat Gunong, Bachok, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya menerima laporan daripada Pegawai Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian yang membuat pemeriksaan terhada mangsa pada pukul 9.23 pagi.

“Jumlah suspek yang terlibat adalah enam orang dengan tiga sudah ditahan antara pukul 1.20 hingga 2 petang pada hari yang sama di dua kawasan berasingan dan tiga lagi kita sedang mengesannya.

“Hasil siasatan awal mendapati dua tangkapan dibuat, ketika suspek datang ke kawasan tali air di kampung Tepus, Gunong Bachok untuk bermain judi manakala seorang tangkapan lagi bersama tiga rakan sejenayah masih bebas pula datang untuk melakukan samun hasil perniagaan mangsa dan perjudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki berkata hasil semakan rekod jenayah mendapati mangsa (yang cedera ditembak) dan tiga tahanan yang berumur lingkungan 23 hingga 28 tahun itu turut mempunyai rekod lampau berkaitan kes narkotik dan jenayah. 

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati, seorang dari mereka positif dadah jenis Methaphetamine. 

“Siasatan awal pihak polis mendapati kesemua yang ditangkap dan mangsa saling mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata kesemua yang ditahan direman selama tujuh hari bermula 28 April untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

“Kita minta jika orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here