Prakazrel “Pras” Michel bersalah dalam kes 1MDB – Mahkamah AS

0
157

MAHKAMAH Persekutuan Washington mendapati Prakazrel “Pras” Michel, bekas penyanyi rap dengan kumpulan The Fugees bersalah bersubahat melancarkan kempen melobi saluran belakang untuk menamatkan siasatan Amerika Syarikat terhadap ahli perniagaan Malaysia yang kini dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Juri persekutuan semalam mensabitkan Michel, 50, atas petuduhan jenayah lain, termasuk bersubahat untuk menyalurkan wang Low secara haram untuk kempen pilihan raya Presiden Barack Obama pada 2012.

Dia juga didakwa atas 10 pertuduhan konspirasi, mengganggu saksi dan memalsukan rekod kewangan kempen.

Menurut laporan Bloomberg yang dipetik Malaysiakini, Michel membuat kesilapan dengan memberi keterangan membela diri semasa perbicaraan selama sebulan, dengan menafikan salah laku.

Michel dikatakan tidak menunjukkan sebarang emosi apabila dia diisytiharkan “bersalah” atas semua 10 pertuduhan, dan berdepan dengan hukuman penjara selama 20 tahun.

Menurut pendakwa raya Low membayar lebih AS$100 juta (RM446 juta) kepada Michel dalam dua plot. Konspiratornya melobi pentadbiran Presiden Donald Trump pada 2017 untuk menamatkan siasatan AS berhubung dakwaan penyelewengan berbilion dolar oleh Low daripada dana 1MDB.

Sementara itu, Reuters melaporkan sabitannya itu adalah susulan daripada perbicaraan yang dipenuhi dengan tipu daya politik selain menampilkan saksi berprofil tinggi termasuk bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio dan bekas Peguam Negara AS, Jeff Sessions.

Jho Low yang turut menghadapi pertuduhan berasingan di New York didakwa menggelapkan AS$4.5 bilion daripada dana kekayaan negara, 1MDB kini masih bebas.

The Fugees memenangi dua Anugerah Grammy untuk album terlaris pada 1996, ‘The Score.’

Namun, menjelang 2012, menurut pendakwa raya, Michel sangat memerlukan wang tunai dan menemui penyelesaian melalui Jho Low, yang terkenal mengadakan pesta dan membayar sejumlah besar wang kepada selebriti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here