30 rakyat Malaysia tinggalkan Sudan, naik kapal tentera laut Arab Saudi

0
180

SERAMAI 30 rakyat Malaysia berjaya meninggalkan Pelabuhan Sudan dengan selamat, menggunakan kapal tentera laut Arab Saudi menuju ke Jeddah, hari ini.

Mereka terlebih dahulu menempuh perjalanan darat yang sukar, sejauh 1,233 kilometer selama 30 jam, dari Khartoum dan tiba ke pelabuhan itu malam semalam.

Perjalanan merentasi Laut Merah dijangka mengambil masa 12 jam.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini menyebut, perjalanan merentasi Laut Merah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam.

“Kerajaan Malaysia menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan dalam menjayakan misi berkenaan.

“Atas semangat ihsan juga, Malaysia turut memudah cara evakuasi warganegara Kemboja, Palestin, Filipina, Singapura, Sudan, Thailand, dan Amerika Syarikat untuk dibawa keluar dari Sudan dengan selamat di bawah usaha dan pemantauan operasi evakuasi Malaysia,” katanya.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata urusan untuk membawa mereka keluar dari Sudan, sebaik kumpulan itu tiba di Pelabuhan Sudan pada jam 8.07 malam (waktu Malaysia) sedikit terjejas susulan halangan yang ditempuhi mereka sepanjang perjalanan darat itu.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana semua rakyat Malaysia terbabit selamat dalam perjalanan yang dianggap episod paling mendebarkan, susulan pergolakan berterusan di negara itu, akibat pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

“Semua rakyat kita yang memulakan perjalanan darat ke Pelabuhan Sudan sejak dua hari lalu, akhirnya sampai dengan selamat pada jam 8.07 malam semalam waktu Malaysia (jam 2.07 petang waktu Sudan),” katanya kepada BH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here